Kerajaan komited perkukuh daya saing negara – PM

 Kerajaan komited perkukuh daya saing negara – PM

fotoBERNAMA (2021)

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Kerajaan komited untuk menarik pelaburan, memperkasakan perdagangan luar, meningkatkan adaptasi pengunaan teknologi digital serta menjamin pertumbuhan lestari dalam usahanya untuk memperkukuh daya saing negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelaburan asing dan perdagangan antarabangsa perlu diberi tumpuan khusus sebagai pembolehdaya yang penting bagi program pemulihan negara.

“Bagi tujuan ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus meneroka potensi eksport baharu, serta menggalakkan penggunaan automasi serta mekanisasi dalam kalangan pemain industri,” katanya semasa mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) hari ini.

Muhyiddin berkata, antara langkah yang akan dilaksanakan termasuklah inisiatif eBizLink iaitu platform pemasaran digital secara maya dan hibrid, serta inisiatif Globalpreneur yang bertujuan mengetengahkan lebih banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana yang berpotensi ke pasaran antarabangsa.

“Kerajaan juga akan menaikkan siling Geran Pembangunan Pasaran atau MDG daripada RM300,000 kepada RM500,000 bagi setiap syarikat yang menyertai platform pameran antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, geran padanan bernilai RM50 juta akan disediakan untuk membangunkan industri aeroangkasa dan peranti perubatan bagi menjana sumber kekayaan baharu negara.

“Kerajaan bersama PBB Malaysia akan menubuhkan Dana Amanah MySDG sebagai platform yang membolehkan pembiayaan daripada pelbagai sumber untuk membiayai projek yang menepati kriteria Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” kata Muhyiddin.

Menurutnya, kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara (PEMUDAH) sentiasa komited untuk memastikan peraturan yang tangkas dilaksanakan bagi mendorong pelaburan semula perniagaan domestik.

“Ini termasuk peluasan program Authorised Economic Operator Nasional yang memberi kemudahan laluan hijau kepada syarikat yang layak bagi urusan eksport dan import dan memendekkan tempoh memproses permohonan pelaburan,” katanya.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  5  =  5