Kerajaan disaran hukum pembekal air gagal beri perkhidmatan

 Kerajaan disaran hukum pembekal air gagal beri perkhidmatan

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 8 April – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu kerajaan bertindak tegas terhadap penyedia perkhidmatan air yang gagal memberikan perkhidmatan yang baik.

Datuk Nadzim Johan

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata sudah terlalu kerap gangguan bekalan air berlaku khususnya di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Perkara ini mungkin dipandang remeh sesetengah pihak tetapi amat serius, air adalah asas kehidupan,” katanya.

Menurut Nadzim, perkhidmatan dan kualiti bekalan air di negeri seperti Kelantan juga telah lama diperkatakan namun tiada penyelesaian sehingga kini.

“Mungkin kerajaan boleh kenakan denda hingga jutaan ringgit baru pihak ini akan memandang serius masalah bekalan air ini,” katanya kepada Wacana.my, hari ini.

Minggu lalu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan 30 kawasan di tiga wilayah iaitu Petaling, Klang dan Shah Alam mengalami gangguan bekalan air selama 48 jam bermula 30 Mac.

Gangguan bekalan air itu adalah susulan pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan aset utama secara berjadual berdasarkan kelulusan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Air Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, gangguan air bermula pukul 9 pagi sehingga 9 malam pada 1 April.

Semakan mendapati sehingga semalam, masih ada Ibu Bapa di sekitar Kuala Lumpur mengadu tidak dapat menghantar anak ke sekolah sesi petang kerana gangguan bekalan air.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  57  =  60