Kerajaan diminta bertindak pada peniaga naikkan harga barang

 Kerajaan diminta bertindak pada peniaga naikkan harga barang

Oleh Suraya Ali

KUALA SELANGOR, 22 Jan – Orang ramai merayu kerajaan memantau dan bertindak berhubung kenaikan harga barang keperluan yang semakin ketara sejak beberapa hari lalu.

Susulan itu, WACANA.MY mengambil inisiatif meninjau di beberapa kedai runcit dan pasar raya di sini bagi mendapatkan gambaran situasi tersebut. Tinjauan hari ini mengesan ada kenaikan harga barang runcit dan alasan yang diberikan peniaga runcit boleh dikatakan tidak munasabah.

Antaranya, kenaikan harga barang asas itu adalah kesan daripada penutupan Pasar Borong Selayang sekali gus harga barang melambung naik. Ini dicanggah oleh pengguna dan peniaga IKS di sini kerana kata mereka, kebanyakan pemborong dan pembekal di sini mendapat bekalan dari Pasar Borong Klang atau Kuala Selangor.

Norlela Suboh

Bagi penjawat awam Norlela Suboh, 43, beliau berharap kerajaan akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya. “Kenaikan harga barang ini amat memeritkan saya sebagai pengguna. Apatah lagi bagi mereka yang kurang berkemampuan dan ramai anak, pasti amat terkesan dengan sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya. Beliau berkata, selain kos keperluan kelengkapan persekolahan anak-anak yang meningkat, bebanan semakin terasa perit apabila kos barang asas harian meningkat.

Norfatin Shahira Azmi

Bagi penjaja makanan pula, kenaikan harga barang menjejaskan perniagaan kecil mereka kerana kos barang mentah menjadi terlalu mahal. Norfatin Shahira Azmi, 22, yang menjual ayam goreng RM1 di sini berkata beliau terpaksa mengecilkan saiz ketulan ayam bagi mengekalkan harga tersebut. “Jika dahulu seekor ayam boleh dipotong 12 ketul, sekarang saya terpaksa potong hingga 18 ketul seekor bagi menampung kenaikan harga barang mentah seperti minyak masak, telur dan ayam,” katanya. Beliau berniaga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama Mac lalu setelah hilang pekerjaan sebagai kerani.

Setelah menyemak harga barangan asas di beberapa kedai, WACANA.MY mendapati perbezaan harga yang ketara walaupun semua premis itu terletak dalam lingkungan hanya beberapa meter sahaja.

Ada juga beberapa kedai runcit tidak memaparkan harga barang jualan dengan alasan “tanda harga terjatuh” atau “harga berubah setiap hari” sekali gus menyukarkan proses meletakkan harga barang.

YB Shaid Rosli ditemuramah wartawan wacana.my

Sementara itu, ADUN Bebas Jeram, YB Shaid Rosli turut senada dengan pengguna di sini dan meminta kerajaan mengambil tindakan proaktif dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barang.

“Kenaikan ini amat memberi kesan kepada penduduk di sini yang rata-rata adalah golongan B40,” katanya.”Rakyat sudah cukup terkesan dengan pandemik COVID-19 dan dengan PKP yang masih belum berkesudahan. Saya minta campur tangan dari kerajaan dan agensi yang bertanggungjawab untuk menamatkan perbuatan ini,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

81  +    =  86