• Thursday, 17 June 2021, 12:28 pm

Kerajaan dan rakyat perlu persefahaman perangi COVID-19

 Kerajaan dan rakyat perlu persefahaman perangi COVID-19

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Persefahaman bersama antara kerajaan dan rakyat dalam menghadapi impak pandemik COVID-19 adalah penting memandangkan kedua-dua pihak kini dilihat sudah mulai mengalami ‘kelesuan’ disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan.

Pengarah pusat pengurusan penyelidikan International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata kerajaan sedang dan masih berbelanja berbilion ringgit bagi meningkatkan bantuan kepada rakyat, namun adalah baik sekiranya kerajaan ketahui apa sebenarnya keperluan rakyat.

“.. kerana kita tidak mahu ada perbezaan ketara dalam apa yang dibelanjakan oleh kerajaan, sedangkan ia sebenarnya bukanlah yang dikehendaki rakyat.

“Di pihak rakyat, saya faham dengan ‘kelesuan’ dan trauma mental yang dihadapi, namun mereka perlu faham dari sudut pandangan kerajaan, yang sedang melakukan segala yang termampu olehnya.

“Di pihak kerajaan, saya faham sepenuhnya kekangan (misalnya) kewangan dan pelbagai lagi kekangan yang sedang dihadapi, tapi mereka perlu turut mendengar suara rakyat berhubung apa bentuk bantuan yang dikehendaki,” katanya dalam program Mid Day Update di Bernama TV hari ini.

Baharom berkata tumpuan utama rakyat kini lebih terarah isu ‘survival’ dan kesihatan, termasuk kesihatan mental dan fizikal, susulan kesan kekangan yang sudah lama berlarutan.

Sehubungan itu beliau mencadangkan proses vaksinasi COVID-19 perlu disegerakan bagi mencapai imuniti kelompok secepat mungkin, sekali gus mengurangkan ketakutan ramai, di samping mengurangkan kelesuan dan kebimbangan kedua-dua pihak – kerajaan dan rakyat.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa perbincangan khas berhubung cabaran menghadapi COVID-19 berkata keseimbangan antara nyawa dan kehidupan perlu diambil kira dalam memuktamadkan pelaksanaan PKP, bagi memastikan rakyat tidak mengalami kesan yang teruk ekoran langkah yang diambil kerajaan.

Beliau berkata itu sebabnya kerajaan memutuskan untuk tidak melaksanakan ‘sekatan pergerakan’ kali ini, sebagaimana MCO 1.0, kerana ia akan memberi kesan kepada rakyat dan mengakibatkan lebih ramai kehilangan pekerjaan, selain mengakibatkan mereka tidak berupaya bangkit dan membina kehidupan dan ekonomi.

Bercakap dalam program sama, penganalisis komunikasi dan pengurusan krisis Peter Nicol bersetuju bahawa sekatan pergerakan penuh sekali lagi akan memberi kesan teruk terhadap struktur ekonomi dan sosial Malaysia bagi tempoh masa yang cukup panjang.

Beliau berkata satu garisan sempadan jelas perlu wujud antara langkah-langkah krisis ekonomi dan krisis kesihatan awam dalam agenda pencegahan COVID-19, semasa keseimbangan antara kedua-duanya cukup rapuh.

“Di awal permulaan pandemik lagi, tidak ada kerajaan dalam dunia ini yang tahu bahawa gejala pandemik ini akan berlarutan sehingga begini lama, dan mempunyai impak negatif kepada ekonomi negara dan global.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *