Keputusan tutup sekolah penilaian bersama PKD, KPM dan kerajaan negeri

 Keputusan tutup sekolah penilaian bersama PKD, KPM dan kerajaan negeri

TANGKAK, 19 April — Keputusan berkenaan penutupan sekolah berikutan kes COVID-19 adalah berdasarkan penilaian bersama Pejabat Kesihatan Daerah  bersama Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Datuk Seri Dr Adham Baba

Beliau berkata penilaian itu mengambil kira antaranya bilangan kakitangan dan murid sekolah yang terpaksa menjalani kuarantin atau Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) setelah disahkan positif COVID-19.

“Bagaimanapun, jika melibatkan anak murid tetapi kakitangan sekolah tidak terlibat, kita boleh buka sekolah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin Vaksinasi COVID-19 ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ Peringkat Daerah Tangkak, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika ada sekolah lain yang dicadangkan Kementerian Kesihatan supaya  ditutup berikutan peningkatan kes COVID-19 di sekolah-sekolah berkenaan.

Ini  susulan arahan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan agar semua sekolah dan institusi pendidikan di tujuh jajahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan  di negeri itu ditutup bermula 18 hingga 24 April depan.

Sementara itu, Dr Adham berkata seramai 9,916 penduduk berumur 75 tahun ke atas dijadualkan  menerima suntikan vaksin  COVID-19 apabila fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula esok.

Mereka akan menerima suntikan itu di 30 pusat pemberian vaksin di seluruh negara, iaitu masing-masing lima di Kedah, Pahang dan Pulau Pinang, empat di Sabah, masing-masing tiga di Terengganu dan Melaka, dua di Negeri Sembilan dan masing-masing satu di Perlis, Sarawak dan Labuan.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

22  −  15  =