Keputusan wajibkan ujian COVID-19 bagi pelancong ke Langkawi langkah positif

 Keputusan wajibkan ujian COVID-19 bagi pelancong ke Langkawi langkah positif

Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Langkah mewajibkan setiap pelancong  ke Langkawi untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan merupakan satu langkah positif.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata walaupun diumumkan agak lewat dan menimbulkan kekeliruan,  keputusan itu dibuat kerana kebimbangan kerajaan terhadap risiko peningkatan kes COVID-19 di pulau peranginan itu berikutan projek rintis gelembung pelancongan yang bermula hari ini.

“Sebelum ini saya menyatakan tidak ada ‘swab test’ (ujian saringan). Tiba-tiba hari ini (Rabu) Kementerian Kesihatan mengumumkan ada ‘swab test’. Tetapi Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bimbang apabila berlaku sesuatu, seperti (kemungkinan) banyak kes nanti.

“Ini adalah satu kerisauan yang positif yang kami di pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) merasakan, oleh kerana ini satu niat yang baik, maka kami sambutlah dengan baik, kami sokong,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi rintis pelancongan domestik malam tadi.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula hari ini diwajibkan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.

Katanya, ujian saringan mesti dilakukan oleh semua orang dewasa berumur 18 tahun ke atas dan kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Sementara itu, Nancy berkata, projek rintis gelembung pelancongan Langkawi akan menjadi kayu ukur bagi menentukan pembukaan semula lebih banyak destinasi pelancongan lain selepas ini.

“Kalau ini berjaya, maka insya-Allah projek gelembung pelancongan lain akan jadi mudah untuk kita. Semua sedang menunggu keputusan kita dari Langkawi ini. Destinasi lain sedang menunggu untuk dibuka,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  48  =  54