Keperluan tenaga mahir gerakkan Ekonomi Digital

 Keperluan tenaga mahir gerakkan Ekonomi Digital
Oleh Dr Zulkiply Omar

 

PERDANA Menteri melancarkan MyDIGITAL  iaitu Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, baru-baru ini sebagai satu langkah wajar bagi memastikan kemapanan pertumbuhan ekonomi negara. Pembangunan ekonomi digital kini adalah asas penting untuk pertumbuhan ekonomi. Ini kerana penyerapan ekonomi digital akan meningkatkan daya saing ekonomi menerusi peningkatan kecekapan. Malah, peningkatan kecekapan adalah prasyarat untuk peningkatan daya saing. Maka, ianya adalah suatu keperluan bukan sekadar suatu pilihan.

Di bawah inisiatif MyDIGITAL, kerajaan memberi komitmen untuk pembangunan infrastruktur asas. Lebih kurang RM50 bilion disasarkan untuk tujuan itu melalui pendekatan usaha sama kerajaan dan swasta. Dengan pembangunan infrastruktur ini, Malaysia akan mempunyai keupayaan teknologi 5G dan perkhidmatan cloud. Ini akan mengupayakan antara lain aplikasi data raya (big data), kecerdasan buatan (AI) dan internet of things (IoT).

Menjelang 2025, kerajaan menjangkakan ekonomi digital akan menyumbangkan 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Pada masa sama, 500,000 peluang pekerjaan akan dicipta. Walaupun tidak jelas tentang pengiraan sumbangan ekonomi digital kepada KDNK, namun sudah tentu ia dikaitkan dengan pertumbuhan setiap sektor hasil sumbangan ekonomi digital.

Penyediaan infrastruktur tidak akan dimanfaatkan dengan sebaiknya tanpa pembangunan tenaga kerja. Persoalannya, tenaga kerja yang bagaimana diperlukan untuk pembangunan ekonomi digital? Untuk menjawab persoalan itu, terlebih dahulu kita perlu memahami apakah ekonomi digital? Adakah ia tambahan kepada konsep ekonomi tradisi atau satu cabang yang lain?

Sebenarnya, ekonomi digital ini bukan suatu cabang ekonomi yang baharu. Ia terangkum dalam sistem ekonomi tradisi. Proses pengeluaran dalam ekonomi masih berasaskan kepada faktor sama iaitu tanah, modal, buruh dan keusahawanan. Apa yang berlaku adalah penerapan ekonomi digital akan mempengaruhi cara pelaksanaan setiap aktiviti ekonomi. Secara umumnya, ia akan mengurangkan kos transaksi lantas meningkatkan kecekapan ekonomi.

Ekonomi digital berasaskan teknologi pengkomputeran. Ia berfungsi melalui perhubungan dalam talian di antara manusia, perniagaan (organisasi), peranti, data dan proses. kesalinghubungan antara manusia, organisasi dan peranti berlaku melalui internet, teknologi mudah alih dan IoT (internet of things). Ringkasnya, kejayaan ekonomi digital bergantung kepada kebolehan manusia dan/atau organisasi menggunakan serta memproses data atau maklumat melalui penggunaan peranti dan teknologi bersesuaian.

Pendek kata, semua aktiviti ekonomi perlu melibatkan ekonomi digital untuk meningkatkan daya saing. Ini meliputi semua sektor ekonomi dari pertanian hingga perkhidmatan. Sesiapa yang tidak mengaplikasikan ekonomi digital dengan sendirinya akan ketinggalan. Inilah sumber pertumbuhan ekonomi masa hadapan. Ini bermakna selain penyerapan teknologi, pembangunan sumber manusia atau modal insan adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi digital.

Jika dilihat ekonomi digital dari sudut industri, sudah tentu pelbagai skil diperlukan. Ini termasuk pakar teknologi pengkomputeran, pembangunan perisian dan sebagainya. Namun, yang lebih ramai diperlukan adalah dari sudut pengaplikasian. Ini melibatkan pemprosesan data sehingga kepada penggunaan data.

Berita baik adalah tidak semua keperluan skil melibatkan pembelajaran baharu, kecuali secara pilihan sendiri bagi mereka yang ingin melibatkan diri dalam pembangunan teknologi berkemahiran tinggi. Selain itu, pembelajaran asas yang disediakan institusi pengajian tinggi sudah memadai untuk kebanyakan aplikasi teknologi digital. Malah, yang banyak diperlukan adalah pekerja separa mahir. Skil separa mahir ini mampu diperolehi melalui latihan ketika  kerja. Contohnya dalam situasi sebenar seperti semasa dunia dilanda dengan pandemik COVID-19, tanpa disedari ramai yang mempelajari kemahiran teknologi digital secara praktikal dalam masa singkat.

Bagaimanapun, elemen kemahiran teknologi digital kini kebanyakan diterapkan secara langsung atau tidak langsung dalam proses pembelajaran bagi kebanyakan mata pelajaran. Maka, tidak memerlukan subjek khusus untuk tujuan tersebut. Untuk menggalakkan proses penerapan itu, institusi pengajian tinggi perlu bekerjasama dengan industri bermula dari pembentukan kurikulum sehingga kepada proses pembelajaran itu sendiri. Dengan itu,  pelajar yang dibentuk bukan sahaja mempunyai kecemerlangan ilmu (book smart) malah cemerlang dari segi pengetahuan berdasarkan pengalaman (street smart).

Pelajar juga mesti bijak menggunakan ilmu dari sudut praktikal. Ini apa yang dipanggil kreativiti. Satu daripada empat faktor pengeluaran dalam ekonomi seperti tersebut di atas adalah keusahawanan. Bahkan untuk mencapai tahap pembangunan ekonomi tinggi setanding negara maju, ini boleh dianggap sebagai elemen terpenting. Keusahawanan bukan sahaja spesifik untuk pengusaha tetapi seharusnya meliputi semua pekerja. Tidak lain, ini adalah pembentukan pekerja kreatif. Kreativiti menggalakkan inovasi. Inovasi adalah enjin pertumbuhan ekonomi yang penting.

Jaclyn Lee dari Singapore University of Technology and Design meringkaskan lima skil utama keperluan ekonomi digital  iaitu pemikiran inovatif dan adaptif; kerjasama maya dan kecerdasan sosial; keupayaan bekerja dalam pelbagai disiplin; literasi dalam pelbagai jenis media; serta pemikiran pengiraan & analitiks.

Jika diamati secara mendalam, kebanyakan skil itu terdiri dari kecemerlangan pengetahuan berdasarkan pengalaman atau apa yang dipanggil street smart. Ia tidak dicapai melalui kecemerlangan akademik yang biasa dikaitkan dengan semata-mata peningkatan pengetahuan. Ini perlu diterapkan supaya ianya menjadi budaya pembelajaran bermula dari sekolah dan tiada pengakhirannya. Budaya ini juga selari dengan penekanan kepada pencapaian dalam pekerjaan yang seterusnya adalah sumber kepada peningkatan daya saing.

Kesimpulannya, pembangunan skil untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital tidak semata-mata tertumpu kepada kepakaran dan pengetahuan teknikal berkaitan teknologi pengkomputeran digital. Malah lebih penting adalah pembentukan skil individu secara menyeluruh dengan membudayakan penyelesaian sesuatu tugas dengan berkesan dan cekap. Dalam konteks ekonomi digital, penyelesaian itu adalah melalui penggunaan teknologi pengkomputeran digital.

Penulis ialah Pengarah Urusan ECONSULT Economic Consulting Sdn Bhd (zulkiplyomar@econsult.my)

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

65  −  61  =