Kepentingan rakyat tumpuan perjumpaan PM, pembangkang

 Kepentingan rakyat tumpuan perjumpaan PM, pembangkang

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Pemimpin-pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng dalam perjumpaan di pejabatnya pada Rabu

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Agenda kepentingan rakyat menjadi tumpuan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin- pemimpin pembangkang pada Rabu.

Ismail Sabri bertemu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu di pejabatnya bermula jam 2 petang dan berakhir jam 3.30 petang.

Pertemuan dan perbincangan itu diadakan bagi merealisasikan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.

Dalam satu kenyataan bersama antara Perdana Menteri dan tiga pemimpin pembangkang berkenaan, ia bagi mencari titik persamaan terbaik untuk menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa, keselamatan diri dari ancaman wabak selain membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan serta pendapatan.

“Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus serta memenuhi kehendak rakyat,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Ismail Sabri bersama Anwar, Guan Eng dan Mohamad turut bersetuju dan memahami kepentingan kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi serta tatakelola kerajaan yang baik.

“Ini bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  20  =  22