Kepentingan pendidikan holisitik dunia kini

 Kepentingan pendidikan holisitik dunia kini

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

PENDIDIKAN holistik merupakan asas kepada pembangunan insan, masyarakat, negara dan tamadun. Ketika masyarakat Arab Jahiliyyah berada di dalam krisis peradaban yang getir dan kritikal, maka Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah SWT supaya dibangkitkan seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membaca ayat-ayat kebesaran Allah (Al-Quran) dan kekuasaan-Nya, mendidik mereka kandungan kitab suci dan kebijaksanaan (hikmah- wisdom) yang tersurat serta tersirat di dalamnya, juga membersihkan hati nurani dan jiwa dalaman mereka, kerana manusia yang dilanda oleh krisis jasmani dan rohani, nilai moral dan mental, akhlak dan hikmah inilah yang sering menjadi ancaman kepada pembangunan insan yang bertamadun serta berperadaban yang diturunkan Allah kepada mereka..

Sistem pendidikan Islam yang menekankan aspek-aspek kehidupan ini adalah merupakan sistem pendidikan yang holistik, yang menggabungkan di antara kehidupan manusia dunia dan akhirat, dan mencipta kesejahteraan manusia sejagat sebagai insan yang  bertamadun dan berperadaban.

Pada tahun 1998, semasa menerajui Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) saya turut serta menghadiri satu perhimpunan tahunan pelbagai agama, yang telah diadakan di Chicago dengan dihadiri oleh lebih daripada 200 perwakilan yang mewakili semua agama dan kepercayaan seluruh dunia, iaitu perhimpunan yang dinamakan Parliament of the World’s Religions.

Perhimpunan tersebut telah memperakukan empat komitmen atau iltizam yang berikut untuk direalisasikan oleh masyarakat manusia di dunia ini bagi mewujudkan masyarakat dunia yang sejahtera dan aman. Empat komitmen tersebut ialah

  1. Iltizam dengan budaya keamanan dan menghargai kehidupan
  2. Iltizam dengan budaya perpaduan dan sistem ekonomi yang adil
  3. Iltizam dengan budaya toleransi dan amanah di dalam kehidupan
  4. Iltizam dengan budaya kerjsama di antara kaum lelaki dan wanita

Pandangan sarwajagat ini merupakan perakuan para pengamal agama dunia sebagai falsafah pendidikan holistik, dan peradaban insan adalah merupakan pembangunan tamadun manusia dengan nilai-nilai universal yang merupakan nilai-nilai yang dipupuk oleh budaya manusia untuk membina kesejahteraan masyarakat sejagat, iaitu yang disejagatkan sebagai budaya holistik.

Fihrist of  Ibn Al-Nadim  iaitu sebuah rujukan klasik tentang bibliografi Islam (penerbitan asalnya kembali kepada abad ke-10) tidak mengandungi sebarang rujukan tentang tajuk kontemperori Islam seperti tajuk Pendidikan Islam, atau Islam dan Pendidikan yang sering dibicarakan pada hari ini. Sebenarnya tajuk-tajuk penulisan atau kajian semasa seperti Islam dan Sains, Islam dan Politik, Islam dan Ekonomi, Islam dan Alam Sekitar dan sebagainya adalah merupakan satu pembicaraan baharu di dalam masyarakat moden pada hari ini, yang tidak pernah tersenarai langsung dalam bibliografi Fihrist Ibn Al-Nadim itu.

Hal ini pastinya memberikan gambaran tentang perubahan pemikiran semasa dalam memahami Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh, sehingga Islam itu haruslah dijadikan sebagai satu objek kajian dan penyelidikan yang mendalam dalam semua aspek pembangunannya yang mempunyai hubungan yang amat rapat dengan kehidupan manusia ini, lalu dalam konteks ini kita membicarakan tentang kepentingan pendidikan dari segala dimensinya dengan Islam, ada kalanya hanya sebagai simbol sahaja.

Hal ini mungkin juga berdasarkan pembahagian ilmu di dalam sistem hidup Barat yang memisahkan agama daripada kehidupan moden (sekularisme dan liberalisme) terutamanya dalam zaman baharu ketika Barat telah melakukan penjajahan ke atas banyak negara Islam, setelah tamatnya zaman Empayar Uthmaniyyah, dan bangunnya negara Barat sebagai pemerintah dunia, terutamanya ke atas negara-negara Islam sebagai jajahan mereka.

Dalam pengertian inilah Al-Quran mengisyaratkan bahawa ilmu Allah yang diberikan kepada manusia adalah amat luas dan besar sekali skopnya, sehinggakan sekiranya seluruh air lautan itu diibaratkan sebagai tinta untuk menulis ilmu-ilmu Allah , maka air lautan itu akan kekeringan, walaupun ditambah sekali ganda lagi, sedangkan ilmu Allah itu masih belum selesai ditulis.

Pembicaraan tentang pendidikan adalah merupakan pembicaraan tentang manusia, kerana pendidikan bukanlah hanya merupakan pendidikan yang berhubung dengan akademik, bilik darjah, peperiksaan dan sebagainya sahaja, tetapi pendidikan adalah merupakan pembicaraan akal dan wahyu, cara hidup dan pemikiran intelek, fizikal dan spiritual, tentang manusia keseluruhannya.

Ahli fikir terulung Islam, Syed Qutub menjelaskan bahawa pendidikan adalah merupakan satu medan yang amat luas dalam membangunkan jasmani dan rohani, akal dan emosi, pembicaraan dan amalan, dan segala-segalanya yang berhubung dengan pemikiran, hati nurani, tindakan dan kelakuan, kepercayaan dan amalan manusia itu sendiri.

Perubahan yang berlaku dalam jangka masa 60 tahun terakhir ini, iaitu yang meliputi setengah abad kedua kurun yang ke-20 dan satu dekad kurun ke-21, telah menghasilkan transformasi yang amat ajaib sekali bagi dunia ini terutamanya ketika penghuni dunia yang berjumlah kira-kira dua bilion pada tahun 1950, kini mencecah bilangan yang berlipat ganda pada masa kini.

Sejarah perkembangan dan pembangunan sektor pertanian, perindustrian dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membuktikan bahawa semakin meningkat daya pemikiran serta penciptaan manusia, maka masa yang diambil dalam proses pembangunan itu menjadi semakin cepat dan pendek.

Proses pembangunan sektor pertanian dalam kehidupan manusia kuno telah mengambil masa ribuan tahun untuk mencapai tahap kesempurnaan. Kemudian, proses pembangunan sektor perindustrian  telah memakan masa hingga ratusan tahun dalam proses perjalanan ke destinasinya yang mantap.

Tetapi ledakan pembangunan ilmu manusia dalam komputer dan teknologi serta peralatan yang berhubung dengannya hanya mengambil masa yang singkat sahaja untuk menguasai dunia dan masyarakat manusia seluruhnya, iaitu dalam jangka masa kira-kira 60 tahun sahaja, yang dengan sendirinya telah melakar satu sejarah baru yang tidak pernah berlaku dalam sejarah perubahan dunia ini, dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Oleh kerana pendidikan adalah merupakan satu unsur penting dan besar pengaruhnya yang boleh diibaratkan seperti isu utama yang menimbulkan kekeliruan dan persoalan utama bagi manusia, maka pertambahan penghuni dunia yang begitu besar telah meletakkan dunia ini dalam tekanan, sekali gus meletakkan pendidikan juga dalam tekanan yang agak kritikal.

Kemajuan bidang perubatan pula dalam masa yang sama telah berjaya memanjangkan usia manusia, yang juga meletakkan tekanan yang lebih terhadap kesejahteraan sosial dan khidmat kesihatan, dengan bertambahnya penghuni warga emas di dunia ini.

Tekanan yang dihadapi oleh manusia penghuni dunia ini sebenarnya telah memberikan kesan yang agak kritikal sekali terhadap pembangunan pendidikan formal dan tidak formal bagi abad baharu ini, kerana tekanan ini sering mengakibatkan tekanan mental dan emosi manusia itu sendiri, yang secara langsung mencabar keberkesanan pendidikan terhadap generasi baharu daripada keluarga dan masyarakat, juga pendidikan rasmi di sekolah dan pusat-pusat pengajian formal terhadap pembangunan insan dari aspek jasmani, rohani dan akal mereka.

Ketika manusia melupakan kehidupan sebenarnya yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quran, merangkumi kehidupan dunia akhirat yang menyeluruh dan kompleks, malah diperkuatkan pula dengan perutusan para Nabi dan Rasul yang diutuskan untuk mendidik manusia dengan perkataan, perbuatan dan contoh tauladan yang sewajarnya, terutamanya oleh Rasul yang terakhir, Nabi Muhammad SAW untuk seluruh umat manusia, maka mungkin kita dapat bertanya: apakah manusia kini mampu melaksanakan fungsinya bagi meneruskan tugas-tugas para Nabi dan Rasul yang membawa perutusan Allah yang amat berat itu?

Inilah sebenarnya agenda pendidikan holistik yang seharusnya dilaksanakan oleh seluruh umat manusia kini, malah bagi Islam, hal ini merupakan tanggungjawab semua umat dan negara dunia, yang memegang amanah yang besar ini untuk dirangka dan dilaksanakannya. Bagi saya negara kita, Malaysia, haruslah mengambil peranan utama dalam bidang pendidikan holistik ini.

Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *