Kepemimpinan minoriti Rasullulah SAW, terajui masyarakat majoriti 

 Kepemimpinan minoriti Rasullulah SAW, terajui masyarakat majoriti 

Oleh Mohd Kamal Ahmad

ORANG Melayu dan kepemimpinan parti – BERSATU, UMNO serta PAS, harus melihat semula dan menteladani bagaimana penubuhan kerajaan Islam pertama di dunia di bawah teraju Nabi Muhammad SAW di Yathrib, yang dijenamakan semula menjadi Madinah al-Munawwarah. Baginda berhijrah dari Makkah dalam satu kelompok kecil tetapi diterima baik walaupun bersifat minoriti di negara yang majoritinya terdiri daripada 10 puak Yahudi dan 12 kabilah Arab itu.

Menurut veteran politik dan pendakwah, Dato’ Nakhaie Ahmad, pencapaian pentadbiran kerajaan Rasulullah adalah hasil beberapa faktor, termasuk susulan dari kesedaran di kalangan orang Arab di Madinah yang terbahagi kepada dua kelompok iaitu Aus dan Khazraj yang saling bermusuhan bahawa mereka perlu bersatu dan memerlukan kepimpinan yang dapat membawa mereka kepada penyatuan.

Pada masa sama, di sebelah pihak Rasulullah SAW pula sedang berusaha mencari pangkalan baharu untuk dakwah memandangkan Makkah tidak kondusif lagi sebagai pangkalan tentangan kuat daripada pemerintahan Quraisy yang membantutkan perkembangan dakwah.

Seterusnya, Baginda mengadakan pertemuan dengan wakil pelbagai kabilah yang datang menunaikan haji bagi mendapatkan pelindung untuk meneruskan dakwah tetapi kebanyakan menolak. Akhirnya berlaku pertemuan antara Baginda dengan penduduk Yathrib (Madinah).

“Dua kepentingan yang saling bertemu dan melengkapi. Penduduk Yathrib melihat Nabi Muhammad sebagai pemimpin yang dicari dan Baginda pula memperolehi kabilah yang sanggup melindungi dakwah dan menerimanya,” katanya kepada Wacana.my.

Menurut Nakhaie, orang Muhajirin terdiri daripada orang Quraisy iaitu kabilah yang berpengaruh dan pengikut Rasulullah SAW yang diterima dan diyakini keupayaan serta sahsiah kepimpinannya oleh penduduk Madinah. Mereka menerima Islam sebagai agama dan yakin Rasulullah SAW sebagai utusan Allah. Sebelum hijrah, Rasulullah SAW telah mengutus Mus’ab bin Umair mengajar mereka mengenai Islam.

“Kualiti kepimpinan Rasulullah SAW dan kalangan sahabat di kalangan Muhajirin menjadikan kelompok minoriti ini dihormati. Ditambah pula oleh langkah strategik Baginda mempersaudarakan antara orang Muhajirin dengan orang Islam Madinah (Ansar).

“Kualiti kepimpinan dan pengaruh keperibadian Rasulullah SAW dan sahabat Baginda dari kalangan Muhajirin serta keimanan orang Ansar kepada Islam. Rasulullah SAW sendiri menjadi teras utama bagi keberkesanan pentadbiran Baginda dalam mengendalikan pemerintahan Madinah,” katanya.

Dalam perkembangan seterusnya, kata Nakhaie, perpaduan kukuh antara Muhajirin dan Ansar menjadikan umat Islam majoriti mutlak dan berada pada kedudukan yang kuat dalam perundingan bagi membentuk negara Madinah bermasyarakat majmuk.

“Penduduk Yahudi dan kafir Arab turut menerima serta tunduk kepada kepemimpinan Rasulullah SAW sebagai pemimpin negara. Baginda memperkenalkan konsep muwatanah (kewarganegaraan), keadilan, tanggungjawab bersama mempertahankan negara, kewajipan bersama memelihara keamanan serta kebebasan beragama. Inilah konsep pemerintahan adil ketika zaman dunia diperintah sistem yang kacau bilau dan zalim,” katanya.

Menurut beliau, penerimaan orang Yahudi dan kafir Arab adalah kerana kekuatan serta kekuasaan mutlak masyarakat Islam di bawah kepimpinan Rasulullah SAW sehingga golongan munafik pun terpaksa tunduk atau berpura-pura tunduk kepada  pemerintahan Islam.

“Kekuatan yang dibina atas perpaduan berpaksikan keimanan dan ketaqwaan,” katanya.

Dua golongan itu juga menerima Nabi Muhammad kerana pemerintahan Baginda yang adil di atas asas muwatanah, kebebasan agama dan tanggungjawab bersama untuk keamanan.

“Faktor lain, ialah ketegasan Rasulullah SAW dalam melaksanakan persetujuan atau kontrak sosial yang dipersetujui sebagaimana termaktub dalam Piagam Madinah. Baginda tidak teragak bertindak mengusir kabilah Yahudi yang membantu kaum Quraisy menyerang Madinah,” katanya.

Nakhaie turut menggariskan beberapa elemen kekuatan yang ada pada Rasulullah SAW dan kalangan sahabat Baginda yang membawa kepada kemenangan iaitu:

  • Kekuatan daripada kebenaran risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ini adalah sunnah yang ditetapkan Allah وقل جاء الحق وزهق الباطل ان الباطل كان زهوقا
  • Kekuatan dan keimanan orang beriman serta kesetiaan mereka kepada perjuangan Islam.
  • Kepimpinan Rasulullah SAW yang keterampilan dan cinta yang luar biasa kalangan pengikut terhadap Baginda.
  • Semangat jihad yang tinggi dan daya juang yang teguh serta sebagai pejuang yang terlatih dan penguasaan kemahiran serta seni peperangan selain semangat perjuangan yang tinggi mengharapkan keredaan Allah dan tidak tamak dunia.

“Mereka diberi pengajaran, bila mana mereka tamak harta dunia mereka menerima kekalahan,” kata Nakhaie lagi.

Beliau berkata, kalangan sahabat Rasullulah kemudiannya dapat membina pasukan ketenteraan yang besar pada zaman Khulafa’ dan ekonomi yang kukuh serta perbendaharaan yang memerlukan pengurusan melalui Sistem Dawawi pada zaman Syaidina Umar Ibn Khattab.

Elemen kekuatan lain yang ada pada Rasulullah SAW dan kalangan sahabat Baginda yang membawa kepada kemenangan ialah persekitaran peperangan yang memihak kepada mereka di mana rakyat di negara musuh sendiri memang mengharap kemaraan tentera Islam untuk membebaskan mereka daripada kezaliman maharaja negara yang ditakluk itu.

“Dan, elemen terakhir ialah Islam mengurus rakyat tempatan yang dibebas dengan cara yang adil,” katanya.

Justeru, Nakhaie berkata, mana-mana kerajaan jangan lupa kepada tanggungjawab membina sebuah negara yang mempunyai jati diri dan rupa bangsanya. Kerangkanya sudah ada dalam Perlembagaan iaitu sebuah negara majmuk yang bertapak pada sejarah dan budaya pribumi dengan Islam sebagai asas kehidupan dan demokrasi sebagai sistem pemerintahan.

“Rasulullah SAW memulakan pembentukan negara bertitik-tolak kepada realiti masyarakat majmuk dengan berpaksikan prinsip keadilan, kewajipan bersama, persamaan kebebasan beragama dan umat Islam majoriti sebagai teras dan Islam sebagai cara hidup dan bukan Islam bebas mengamalkan agama mereka,” katanya.

 

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  20  =  21