• Sunday, 20 June 2021, 12:34 pm

Kenyataan Sultan Johor diputar belit

 Kenyataan Sultan Johor diputar belit

JOHOR BAHRU, 9 Jun – Penularan satu poster dalam media sosial yang memetik titah Sultan Johor supaya memberi peluang kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diputar belit mengikut konteks yang tidak tepat.

Royal Press Office (RPO) dalam satu kenyataan memaklumkan, kenyataan itu diambil dalam satu temubual eksklusif baginda dalam akhbar The Star yang disiarkan pada 27 Disember 2015.

Jelas RPO, pendapat Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu adalah berkaitan situasi pentadbiran negara pada waktu itu dan tidak diguna pakai dalam keadaan negara pada waktu ini.

“Bagaimanapun, penularan poster tersebut pada ketika ini berniat jahat dan jelas ingin mengheret Institusi Diraja Johor dalam isu-isu
politik semasa negara,” demikian menurut kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu dalam kenyataan yang sama, Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

“Saya sedar kedudukan saya sebagai seorang Sultan bermaksud saya tidak berpihak kepada mana-mana parti mahupun ahli politik.

“Sebagai Raja Berperlembagaan saya tidak mencampuri mana-mana parti atau perikatan politik yang telah dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum.

“Ketika Johor melantik tiga Menteri Besar dalam tempoh dua tahun (2018-2020), saya telah menerima keputusan kerajaan berkenaan dan memberikan kerjasama kepada mereka semua,” titah baginda.

Sultan Johor bertitah, kepentingan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan baginda dan Institusi Diraja Johor tidak kira parti mana pun yang memegang tampuk pentadbiran kerajaan.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *