Kendalikan dron waktu malam dan cuaca panas suatu cabaran

 Kendalikan dron waktu malam dan cuaca panas suatu cabaran

Hafizzudin (kanan) bersama pembantunya menjalankan tugas meracun di sawah Paya Laka

Oleh Mohd Fikri Mie

ROMPIN, 7 April – Berada di bawah terik matahari setiap hari dan berkerja waktu malam antara cabaran pengendali pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron.

Namun kerana minat semua itu dianggap biasa buat Pegawai Pengendali Operasi Dron, Hafizzudin Salleh, 33, yang bertugas dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) Agro Sdn Bhd yang memiliki estet padi terbesar di Pahang berkeluasan 618 hektar di Paya Laka, di sini.

Beliau berkata, di peringkat awal memikul tugas mengawasi dan mengendali dron bersama seorang pembantu bagi kerja menyembur racun rumpai tahun lalu menyebabkan dia demam dan pening kepala kerana lama berjemur di tengah panas.

Namun katanya, selepas beberapa bulan masalah itu tidak lagi berlaku malah menjadi semakin seronok berada di tengah sawah untuk melunaskan tanggungjawab yang diberikan majikan.

“Kerja menyembur racun dilakukan dua sesi setiap hari. Sesi pertama bermula 8 pagi hingga 12 tengahari dan kedua 4 petang hingga 8 malam lima hari seminggu.

“Sesi pagi untuk aktiviti meracun rumpai yang terdapat dalam petak sawah dan sebelah malam pula bagi meracun serangga serta penyakit padi,” katanya yang berasal dari Endau, Johor.

Beliau berkata, untuk menambahkan lagi kemahiran penggunaan dron selain mempelajari teknik terbaik membuat semburan racun, beliau mengikuti kursus di Kedah tahun lalu, kemahiran yang ada melancarkan lagi tugas digalas.

Katanya, sebelum ini pernah berlaku dron yang dikawal pembantunya terlangar bangunan sarang burung punggok hingga menyebabkan bahagian kipas patah kerana gangguan burung yang banyak terdapat di kawasan sawah.

“Sistem komputer yang canggih terdapat pada dron memudahkan lagi tugas saya untuk menyembur racun secara pergi balik. Saya hanya mengawal ketika mula bekerja dan mendarat.

“Dron tidak akan melanggar burung yang banyak terdapat di sawah, sistem komputernya membolehkan ia berhenti apabila mengesan halangan,” katanya yang sentiasa berkongsi kemahiran dengan rakan setugas.

Sementara itu Pengurus Besar PKPP Agro Sdn Bhd, Zameri Uyob berkata, pihak syarikat mula menggunakan dron tahun lalu dan kini memasuki musim ketiga penanaman padi itu.

Katanya, kini pihaknya mempunyai empat unit dron yang mampu mengangkat 10 dan 16 liter racun. Tiga petugas menyelenggara alat berkenaan yang berharga lebih RM70,000 seunit.

“Penggunaan dron bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga kerja malah lebih penting dapat membuat semburan racun secara sekata keseluruhan kawasan sawah.

“Di peringkat awal ini pihaknya hanya menggunakan untuk kerja meracun sahaja, selepas ini kita akan menggunakannya bagi kerja membaja dan menabur benih padi,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

67  −    =  66