Kenapa tidak siasat kebenaran di sebalik ‘pendakwaan politik’?

 Kenapa tidak siasat kebenaran di sebalik ‘pendakwaan politik’?

Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos

KUALA LUMPUR, 26 Jul — “Mengapa tiada siasatan lanjut dibuat pihak berwajib ketika acap kali para pemimpin politik yang dituduh di mahkamah membuat dakwaan bahawa mereka adalah mangsa politik?”

Itu persoalan ditimbulkan peguam kanan, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang melihat perkara sedemikian akan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap agensi penguatkuasaan dan badan kehakiman.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, tuduhan tersebut secara jelas mempunyai kesan besar terhadap imej negara dan Malaysia bakal dilihat seperti negara dunia ketiga yang begitu ditakuti pelabur luar.

“Seringkali apabila seorang ahli politik dituduh di mahkamah, mereka mendakwa menjadi mangsa politik.

“Tetapi yang membimbangkan saya adalah mengapa kita tidak pernah mengambil langkah untuk mengesahkan apakah ia benar atau tidak?

“Sekiranya benar, bermaksud bahawa sistem keadilan kita rosak dan cacat. Sekiranya ahli politik boleh dianiaya, seperti yang sering didakwa, maka apakah peluang yang dimiliki oleh rakyat biasa? Oleh itu perkara ini wajib disiasat,” katanya pada Ahad.

Pada Khamis lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta pada 2020.

Selain itu, beliau berhadapan tuduhan menyalah guna harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000.

Syed Saddiq, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan itu yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *