Kenal pasti dua lokaliti setiap negeri laksana projek rintis basmi kemiskinan

 Kenal pasti dua lokaliti setiap negeri laksana projek rintis basmi kemiskinan

ISKANDAR PUTERI – Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kerajaan negeri sedang mengenal pasti dua lokaliti di setiap negeri untuk melaksanakan projek rintis membasmi kemiskinan tegar secara holistik. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tujuannya bagi mencapai sasaran kemiskinan tegar sifar pada 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). 

“Pada 6 November 2021, sebuah kampung di Sik, Kedah dicadangkan sebagai projek rintis pertama membasmi kemiskinan tegar secara holistik di kawasan luar bandar. 

“Projek rintis ini menggabungkan

kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun, universiti, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), organisasi berasaskan komuniti (CBO) setempat dan pihak swasta,” katanya dalam sidang media di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri.

Mustapa (kanan) dan Hasni sebelum mendengar sesi taklimat program menangani kemiskinan di Iskandar Puteri dan Johor di Johor Bahru, hari ini.

Menurut Mustapa, sesi ‘Poverty Circle’ yang telah diadakan sebanyak lima kali akan mengenal pasti modul terbaik untuk projek rintis membasmi kemiskinan tegar. 

Modul tersebut akan dilaksanakan mengikut keperluan lokaliti sama ada berasaskan komuniti, individu atau secara hibrid. 

Dalam pada itu, beliau berkata, Johor merupakan sebuah negeri penyumbang utama terhadap ekonomi negara pada 2020 selain Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak. 

Mustapa berkata, purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  

Johor mencapai 3.1 peratus setahun, iaitu melebihi purata nasional sebanyak 2.7 peratus setahun dalam tempoh 2016 hingga 2020.

“Pertumbuhan ekonomi Johor diterajui oleh sektor perkhidmatan, khususnya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman dan penginapan; diikuti sektor pembuatan khususnya dalam produk elektrik, elektronik dan optikal,” katanya.

Pihaknya mengadakan Jerayawara RMK-12 ke Johor hari ini.

Program itu bermula jam 9 pagi dengan sesi taklimat program menangani kemiskinan di Iskandar Malaysia dan Johor oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim dan Timbalan Pengarah (Pemantauan), Pejabat Pembangunan Negeri Johor, Amy Lydia Adnan di Ibu pejabat IRDA di sini. 

Selepas itu, Mustapa melawat Rumah Iskandar dan dua keluarga miskin di Kampung Sungai Melayu.  

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *