• Sunday, 20 June 2021, 8:34 am

Kenaikan harga minyak sawit mentah untungkan pekebun sawit negara – Khairuddin

 Kenaikan harga minyak sawit mentah untungkan pekebun sawit negara – Khairuddin

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR, 8 Jun — Kenaikan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) ‘memulangkan keringat’ tiga juta ahli keluarga pekebun kecil sawit di seluruh negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata purata harga minyak sawit mentah (MSM) kini antara RM4,000 hingga RM4,500 satu tan.

“Harga kini berkali ganda berbanding hanya sekitar RM2,000 satu tan pada 2019 dan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu Mohd Khairuddin berkata harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi botol lima kilogram adalah munasabah memandangkan kenaikan harga minyak sawit bertapis yang tinggi pada masa ini.

“Minyak masak sawit berada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun sebagai menteri yang menjaga sawit, saya terpanggil untuk menjelaskan isu kenaikan harga MSM yang memberi kesan kepada harga minyak masak,” katanya.

Tambah Mohd Khairuddin kenaikan harga MSM menyumbang secada terus kepada harga minyak masak di kilang yang berada pada kadar RM4.50 hingga RM5 sekilogram.

“Jika lima kilogram sekitar RM25, Belum dikira kos pembungkusan dan lain-lain. Dengan rantaian bekalan menerusi pemborong dan peruncit, sangat munasabah harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi botol lima kilogram,” katanya.

Mohd Khairuddin berpendapat, sudah lama rakyat M40 dan T20 menikmati minyak masak pada harga rendah di atas kudrat dan keringat pekebun kecil yang berpendapatan kecil.

Beliau menjelaskan, untuk 12 juta rakyat berpendapatan rendah, kerajaan telah menyediakan harga subsidi RM2.50 dengan bagi pek satu kilogram meskipun harga modal di kilang melebihi RM5.

“Ketika ini minyak masak pek dua kilogram dan lima kilogram berada di pasaran sekitar 300,000 tan dan minyak masak pek bersubsidi satu kilogram kira-kira 720,000 tan, manakala sebanyak 19 juta tan dipasarkan di pasaran antarabangsa menerusi eksport,” katanya.

Sekiranya subsidi diperluaskan kepada minyak masak lima kilogram untuk kegunaan M40 dan T20, penyelewengan boleh berlaku lagi pada skala lebih besar dan memerlukan penguatkuasaan lebih ketat oleh kerajaan.

“Kalau keluarga dengan lima orang bererti satu keluarga boleh menikmati purata sembilan kilogram minyak masak bersubsidi sebulan,” katanya.

“Kerajaan membayar subsidi purata 720,000 tan setahun atau sebanyak 720 juta pek minyak masak satu kilogram yang dikeluarkan. Bukan hanya cukup untuk 12 juta rakyat B40 malah dengan angka rakyat Malaysia 32 juta, setiap orang boleh menikmati 1.8 kilogram minyak sebulan dengan harga subsidi,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *