Kenaikan harga ikan sementara – MAFI

 Kenaikan harga ikan sementara  – MAFI

Ahmad menyampaikan sumbangan kepada peladang dan penternak yang mengalami kerugian akibat banjir di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.

Oleh Mohd Haiqal Ramli

MASJID TANAH 5 Januari 2022 – Cuaca tidak menentu adalah punca kenaikan harga ikan semasa dan ia dijangka kembali stabil apabila musim tengkujuh berakhir tidak lama lagi.


Timbalan Menteri I Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, berikutan musim tengkujuh sejak November lalu, kebanyakan nelayan di Pantai Timur dan utara Semenanjung tidak mampu turun ke laut.


Katanya, kenaikan harga seumpama itu lazimnya bersifat sementara dan akan turun apabila musim angin Monsun Timur Laut berakhir pada penghujung Januari.


“Keadaan cuaca sekarang tidak menentu dan menyebabkan kebanyakan nelayan tidak dapat mencari rezeki tetapi kita yakin harga akan kembali stabil apabila monsun itu berakhir,” katanya.

Zulkifli memberi penjelasan kepada Ahmad dan Haslina mengenai kerugian dialaminya akibat banjir di ladangnya di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada peladang dan penternak yang terjejas akibat banjir di Kampung Ramuan Cina Kecil, Lubok Cina dekat sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Ahmad menyampaikan sumbangan kepada peladang dan penternak yang mengalami kerugian akibat banjir di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.


Beliau mengulas kenaikan harga ikan semasa yang menyaksikan ikan kembung bersaiz kecil atau pelaling dijual di kebanyakan kawasan di Semenanjung pada harga RM13 sekilogram.


Mengenai bencana banjir pada 18 Disember lalu, Ahmad berkata, kajian rambang MAFI mencatatkan kira-kira 5,500 peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara yang dilabelkan sebagai Wira Agro mengalami kerugian kira-kira RM69 juta.


Beliau bagaimanapun berkata, jumlah berkenaan belum termasuk Wira Agro di Johor yang masih bergelut dengan bencana banjir.


“MAFI menyediakan RM100 juta melalui Dana Bangkit Semula Keluarga Agro, selain Tabung Bencana melalui Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) sebanyak RM80 juta serta Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) sebanyak RM12 juta.


“Kita tidak dapat ganti semua kerosakan akibat banjir tetapi kita bantu sedaya yang mampu supaya mereka mampu bangkit semula,” katanya.


Sehubungan itu, beliau meminta peladang, penternak dan nelayan supaya tidak berputus asa dalam usaha membantu menghasilkan bahan makanan dalam negara.


Katanya, di Melaka sahaja, seramai 275 Wira Agro mengalami kerugian kira-kira RM2.83 juta akibat banjir.


Beliau memberi jaminan sebaik sahaja kajian menyeluruh selesai, mereka yang terjejas akan diberikan sumbangan bagi memastikan pengeluaran bahan makanan negara tidak terjejas.
-ends-

Pix 1: Ahmad dan Haslina mendengar penjelasan penternak, Zulkifli Osman, 55, mengenai kerugian ditanggungnya akibat kematian arnab ketika banjir di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.

Pix 2-4: Ahmad menyampaikan sumbangan kepada peladang dan penternak yang mengalami kerugian akibat banjir di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.

  • Foto Mohd Haiqal Ramli

Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

8  +  1  =