Kenaikan harga barang bukan disebabkan kekurangan stok

 Kenaikan harga barang bukan disebabkan kekurangan stok

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

JOHOR BAHRU, 23 Okt — Kenaikan harga barang yang dilaporkan sejak kebelakangan ini bukan disebabkan kekurangan bekalan kerana stok makanan sentiasa konsisten dan melebihi permintaan walaupun negara berdepan pandemik Covid-19.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kementerian itu sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan harga makanan stabil.

Menurutnya, dalam tempoh pandemik juga dilaporkan berlaku lambakan sayur, tembikai dan nanas.

“Kerjasama dengan KPDNHEP penting bagi mengawal kenaikan harga produk makanan. Sebagai contoh MAFI mengadakan perbincangan dengan KPDNHEP berhubung langkah menangani kenaikan harga ayam yang melebihi RM10 sekilogram pada September lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sidang video MAFI bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohammad Mustafa di Pejabat Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA) Johor di sini pada Sabtu.

Sebelum itu beliau mengadakan lawatan ke Pasar Tani Datin Halimah, Jalan Padu Kawasan Perindustrian Tampoi.

Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razali dan Timbalan Ketua Setiausaha ( Dasar) MAFI, Azah Hamid Ahmad.

Pada Sabtu, media melaporkan aktiviti rentas negeri sejak 11 Oktober lalu menyebabkan harga kebanyakan barang membabitkan makanan dan binaan meningkat antara 15 hingga 50 peratus.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George berkata, peningkatan tersebut dikesan berdasarkan kajian Cassa di seluruh negara khasnya di kawasan pelancongan.

Sementara itu ketika mengulas mengenai Bajet 2022 untuk MAFI, kementerian akan memfokuskan kepada pemulihan sektor agro makanan.

“Peruntukan ini penting bagi membangunkan semula pengusaha kecil sektor agro makanan iaitu penternak, nelayan, peladang dan petani kecil supaya mereka dapat membangunkan semula ekonomi dan perusahaan yang terganggu akibat pandemik Covid-19.

“Perkara ini dicadangkan MAFI kepada Kementerian Kewangan dalam bajet yang akan dibentangkan hujung bulan ini,” katanya.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *