Kenaikan harga ayam: KPDNHEP cadang MOF beri subsidi kepada pengusaha ladang ayam

 Kenaikan harga ayam: KPDNHEP cadang MOF beri subsidi kepada pengusaha ladang ayam

Datuk Rosol Wahid

KUALA BERANG, 11 Sept — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk memberi subsidi kepada pengusaha ladang ayam di negara ini sebagai langkah mengawal kenaikan harga ayam.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata ketika ini terdapat kira-kira 20 pengusaha ternakan ayam terbesar yang beroperasi di tiga negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Perak yang mengeluarkan 80 peratus ayam untuk pasaran seluruh negara.

Beliau berkata kenaikan harga ayam ketika ini dilaporkan berpunca daripada peningkatan harga komponen makanan ayam iaitu soya dan jagung yang diimport sepenuhnya dan memberi kesan kepada penternak ayam tempatan.

“Cadangan subsidi ini dilihat sesuai untuk mengawal kenaikan harga ayam dan ia terbukti sebagaimana kita mengawal kenaikan harga minyak sawit dalam botol sebelum ini yang berpunca daripada peningkatan harga minyak sawit mentah dunia.

“Apabila harga ayam rendah di peringkat ladang, maka kestabilan harga ayam di peringkat borong dan runcit akan dapat dikawal,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke Pasar Ajil di sini hari ini.

Ditanya mengenai pelaksaan mekanisme pemberian subsidi itu, Rosol berkata ia akan diperincikan dalam masa terdekat namun memberi jaminan ia akan mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak.

Mengikut semakan kementerian, harga jualan ayam tertinggi yang direkodkan setakat ini ialah RM11 untuk satu kilogram di pasar basah Gopeng, Perak manakala harga purata ayam standard di pasar basah seluruh negara ialah antara RM9 hingga RM10.50.

Dalam pada itu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata bahagian penguat kuasa KPDNHEP telah melancarkan Ops Catut (Pasar) 8.0 bermula Khamis lepas (9 Sept) untuk menjalankan siasatan di semua peringkat rantaian bermula daripada penternak, pengeluar, pemborong dan peruncit.

Beliau berkata sehingga semalam, penguat kuasa KPDNHEP telah memeriksa sejumlah 63 premis pengeluar, pemborong dan peruncit di seluruh negara.

“Sebanyak 63 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dan 56 Notis Bertulis (NB) telah dikeluarkan kepada peniaga untuk siasatan lanjut sekiranya berlaku unsur pencatutan dalam jualan ayam hidup, ayam standard dan ayam super.

“Selain itu, penguat kuasa KPDNHEP juga telah mengeluarkan 12 surat pemberitahuan yang meminta peniaga menyemak semula harga jualan ayam dan menurunkan kadar harga jualan,” katanya.

Menurut beliau, mana-mana peniaga yang didapati mencatut atau mengaut untung tinggi yang tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

22  −    =  12