Kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’ SSM galak daftarkan perniagaan

 Kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’ SSM galak daftarkan perniagaan

KUALA LUMPUR, 16 April — Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi Kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’ menggalakkan orang ramai, khususnya peniaga untuk mendaftarkan perniagaan mereka secara sah di agensi itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia berikutan semua perniagaan perlu berdaftar sama ada di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Semenanjung Malaysia dan Labuan), Akta Syarikat 2016 atau Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.

“Peruntukan ini tidak hanya merujuk kepada aktiviti perniagaan yang dijalankan secara konvensional, tetapi turut merangkumi aktiviti perniagaan yang dijalankan secara dalam talian.

“Dengan perniagaan secara sah, para pengguna dapat dilindungi dan mengurangkan risiko daripada ditipu, serta memberi jaminan kepada pembeli agar mereka lebih yakin untuk menjalankan aktiviti urusniaga.

“Buat peniaga berdaftar pula, mereka berpeluang untuk mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan atau bantuan kewangan, dan latihan kemahiran yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’ sempena Sambutan Ulang Tahun Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ke-19 di sini hari ini.

Menerusi kempen itu, golongan usahawan kumpulan B40 dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa, dapat memanfaatkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), dengan mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma.

Skim itu dijangka dapat memanfaatkan seramai 180,000 usahawan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa untuk menceburi bidang perniagaan dengan sasaran 30,000 pendaftaran pada tahun ini.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

68  −  64  =