Kempen Gong Xi Ang Pow PTPTN tawarkan RM95,000

 Kempen Gong Xi Ang Pow PTPTN tawarkan RM95,000

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan ganjaran tunai berjumlah RM95,144 menerusi Kempen Gong Xi Ang Pow kepada semua pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mulai hari ini hingga 8 Mac depan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengumumkan kempen sebulan itu menerusi FB rasmi perbadanan – FB PTPTN Official, hari ini.

Kempen itu menawarkan ang pow pertama bernilai RM8,888; kedua (RM6,888); ketiga (RM3,888) serta 85 ang pow saguhati bernilai RM888 tiap satu. Setiap simpanan bersih bernilai RM100 layak untuk satu cabutan dan kempen itu tidak menghadkan bilangan cabutan. Apa yang penting, pendeposit perlu memastikan akaun kekal aktif (akaun tidak ditutup) sehingga 31 Mac 2021.

Beliau berkata, inisiatif itu diadakan bagi meraikan kemeriahan Tahun Baru Cina yang akan dirasai bersama oleh masyarakat majmuk di Malaysia selain tanda penghargaan PTPTN kepada rakyat Malaysia kerana memilih SSPN sebagai pilihan utama untuk simpanan pada musim perayaan.

Katanya, Kempen Gong Xi Ang Pow turut mencerminkan keprihatinan PTPTN supaya rakyat Malaysia sentiasa mengutamakan simpanan demi masa depan terutama Pendidikan anak-anak di samping terus mengamalkan penjagaan kesihatan diri dan keluarga walaupun negara sedang diuji dengan pandemik COVID-19.

Pemenang kempen akan dimaklumkan menerusi surat, emel, panggilan telefon atau kaedah penyampaian lain. Seterusnya, hadiah berbentuk ganjaran tunai itu akan dikreditkan ke dalam akaun SSPN-i pemenang dalam tempoh dua daripada tarikh cabutan. Sekiranya pemenang tidak mempunyai akaun SSPN-i, pembukaan akaun akan dibuat berdasarkan butiran akaun di SSPN-i Plus.

Segala maklumat, terma dan syarat terperinci mengenai kempen ini boleh didapati menerusi laman rasmi: www.ptptn.gov.my dan FB rasmi PTPTN.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  23  =  25