Kempen Bendera Putih: Bantu dengan bijak

 Kempen Bendera Putih: Bantu dengan bijak

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Tular sejak beberapa hari lalu gerakan menaikkan bendera putih bagi yang memerlukan bantuan segera.

Usaha murni itu disambut baik oleh badan bukan kerajaan (NGO) namun tidak kurang juga ada yang mempersoalkan tindakan itu.

Wacana.my memahami kesusahan dan kesulitan dihadapi oleh sekalian rakyat dan menyokong inisiatif ikhlas ini.

Walau bagaimanapun, rakyat perlu bijak dalam urusan penyerahan bantuan.

COVID-19 tidak memilih mangsa, oleh itu setiap orang harus sentiasa berwaspada dan jaga diri serta lindungi keluarga dalam menjalankan tanggungjawab sosial.

Hari ini kami ingin berkongsi beberapa tips ketika membuat serahan bantuan makanan.

Pertama, sebelum membeli barangan keperluan, dapatkan maklumat asas penerima seperti nama, alamat, nombor telefon, serta bilangan isi rumah. Ini dapat membantu anda dalam urusan pembelian barangan keperluan.

Setelah mendapatkan maklumat awal penerima, kami mencadangkan agar anda menghubungi pihak berkuasa terdekat kawasan penerima seperti zakat atau sekurang-kurangnya wakil rakyat, Adun atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan penerima tidak tercicir dari senarai bantuan kerajaan.

Apabila tiba di rumah penerima, sebelum turun dari kenderaan, pastikan anda memakai pelitup muka serta bersihkan tangan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Perkenalkan diri dengan jelas dari jarak selamat dengan memberi salam, mengetuk pintu dan selepas ada sahutan dari dalam, ambil beberapa langkah ke belakang, jauhkan diri dari pintu rumah penerima.

Setelah anda mengesahkan alamat dan nama penerima betul, letakkan barang bantuan makanan pada jarak yang selamat. Elakkan menyerahkan barangan secara rapat dan elakkan bersentuhan dengan penerima bantuan.

Maklumkan kepada penerima barangan yang diberikan dan pesan kepada penerima untuk semak tarikh luput barangan serta maklumkan semula kepada anda jika barangan diterima bermasalah.

Pesan kepada penerima, barangan adalah untuk tempoh berapa lama, dan dapatkan bantuan dari pihak bertanggungjawab.

Akhir sekali, sebelum anda masuk semula ke dalam kenderaan, sanitasi diri anda dan buang pelitup muka ke dalam beg plastik kecil. Jangan buang pelitup muka anda di merata-rata tempat. Pastikan anda membuangnya ke bakul sampah.

Walaupun memberi bantuan adalah perbuatan yang terpuji, kita hendaklah mengelakkan daripada dijangkiti wabak COVID-19 dan berusaha membantu mengurangkan penyebaran virus ini.

Jika anda merancang untuk membantu rakyat yang memerlukan, dapatkan nasihat dari NGO yang lazimnya mempunyai SOP dan menekankan keselamatan sukarelawan.

Bagi mereka yang mempunyai maklumat tentang rakyat yang memerlukan, boleh hubungi pihak JKM, NGO atau Pusat Zakat terdekat supaya bantuan dapat disalurkan dengan segera.

 

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  7  =  9