Kempen bendera putih: Ahli politik jangan nak sibuk!

 Kempen bendera putih: Ahli politik jangan nak sibuk!

KUALA LUMPUR, 2 Julai — Kempen kibar bendera putih di halaman rumah sekiranya tiada makanan atau perlukan bantuan yang tular sejak kelmarin, mendapat perhatian seorang penerbit dan pengacara.

Hazeman Huzir, menyelar tindakan ahli politik yang mempolitikkan kempen tersebut yang dibuat hasil inisiatif rakyat sendiri.

“Kempen bendera putih adalah kempen di mana seorang itu atau mereka yang memerlukan bantuan dan perlukan pertolongan mengibarkan kain putih di hadapan rumah mereka dan oleh itu memberi indikasi jiran-jiran lain yang masih lagi termampu datang ke rumah dan memberikan bantuan yang mereka memerlukan. Sebagai contoh, bahan asas makanan ataupun dari segi bantuan emosi dan juga support system.

“Jadi bila kita mengibarkan bendera putih, sekurang-kurangnya orang macam saya, ada rumah ini rumah itu yang memerlukan bantuan jadi saya yang termampu boleh bantu.

“Dan ianya tidak patut dipolitikkan kerana bukan aku ini berkira dengan ahli politik dekat Malaysia, tidak. Ianya akan mendatangkan masalah, sebagai contoh belum apa-apa lagi Parti B (pembangkang) menggunakan bendera putih sebagai alat politik mereka untuk menzahirkan yang kerajaan sekarang ini tidak berguna,” luahnya dalam video yang dimuat naik di Instagramnya.

Pada Selasa, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Shazni Munir Mohd Ithnin dalam satu kenyataan berkata kempen bendera putih merupakan bukti kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menjaga kebajikan rakyat semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurutnya, kempen yang bertujuan memberikan sokongan dan bantuan keperluan harian kepada isi rumah yang hilang pendapatan itu menunjukkan yang rakyat sudah tidak mampu menanggung kesan wabak Covid-19 dengan mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, misalnya menganggap langkah yang betul bukanlah menaikkan bendera tetapi mengangkat tangan berdoa kepada Allah.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar) itu juga menganggap menaikkan bendera putih adalah tanda mengaku kalah.

Namun, Hazeman tidak bersetuju dengan pandangan ahli politik terbabit sambil menyifatkan mereka cuba menunggang kempen tersebut sedangkan mereka boleh fikir kempen diri sendiri.

“Apa yang orang tu rasa yang orang tu dalam kesusahan sekarang ini tidak berdoa langsung kepada Allah, itu yang pertama.

“Yang kedua, apa yang orang cakap itu merasakan orang itu sudah berputus asa sedangkan orang itu belum pun berputus asa. Bendera putih dalam konteks ini maksudnya adalah untuk meminta pertolongan bukan untuk give up.

“Yang ketiga, apa yang orang tersebut cakap orang yang meminta pertolongan itu tidak bertawakal langsung sebelum dia meminta pertolongan. Sekali lagi ini adalah kempen dari rakyat untuk rakyat dan tidak patut dipolitikkan kerana ia bersifat neutral daripada awal dengan atas tujuan agar rakyat Malaysia boleh bantu orang di sekeliling mereka dengan lebih cepat dan lebih tangkas,” katanya.

Lantaran itu, Hazeman juga turut menasihatkan rakyat Malaysia agar lebih prihatin dan cakna dengan persekitaran sekeliling terutamanya jiran dan sahabat handai.

“Kepada kawan-kawan di luar sana, mungkin sekarang ini tengah burn out, buntu, kerja tak ada, duit tak ada, masing-masing ada kawan-kawan.

“Jadi kibarkan bendera putih anda sendiri kepada kawan-kawan anda lain. Anda harus ingat sesuatu, kawan anda sedia mendengar masalah anda daripada hadir di majlis pengebumian. Apa gunanya persahabatan, apa gunanya hidup bermasyarakat jika masyarakat sekeliling kita ini nak bantu tapi korang not allow us to do it.

“Kempen bendera putih ini pada pendapat peribadi saya alat untuk cakna, untuk sedar keadaan yang sedang berlaku di kejiranan saya,” ujarnya.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  5  =  5