Kemboja rekrut generasi baru tikus pengesan periuk api

 Kemboja rekrut generasi baru tikus pengesan periuk api

PHNOM PENH, 13 Jun – Kemboja mula merekrut generasi tikus terbaru untuk menghidu dan mengesan periuk api, dalam usaha meningkatkan operasi menghapuskan senjata itu daripada negara tersebut.

Menurut Reuters, sejumlah 20 tikus gergasi Afrika telah diimport dari Tanzania dan menjalani latihan mengesan periuk api dan ‘ordinan belum meletup’ atau UXO (bom yang gagal meletup ketika dilepaskan) itu.

“Tikus-tikus ini amat mudah dilatih, dan mereka tidak kisah siapa yang melatih mereka,” kata So Malen, seorang ‘handler’ tikus ini Jumaat lalu ketika sesi ujian di daerah Preah Vihear, berdekatan sempadan Thailand.

“Sesiapa pun daripada kami boleh memegang dan melatih mereka, dan paling penting, mereka tidak menggigit.”

Kemboja mempunyai masalah periuk api yang serius, disebabkan peperangan saudara yang berlaku selama beberapa dekad bermula dari tahun ‘50an sehinggalah pertengahan tahun ‘70an, dimana sejumlah 4 hingga 10 juta periuk api telah ditinggalkan pihak-pihak yang bertelagah di seluruh negara tersebut. Sehingga kini, masih terdapat 1,000 km persegi tanah di negara itu masih tercemar dengan periuk api lama.

Kemboja juga mempunyai paling ramai individu kudung per kapita, dengan lebih 40,000 orang yang kehilangan anggota badan akibat letupan periuk api.

Kumpulan tikus terbaru ini menggantikan generasi sebelumnya yang telah bersara, termasuklah Magawa, yang sepanjang perkhidmatannya selama 5 tahun telah mengesan 71 periuk api dan 28 UXO.

Tahun lalu, Magawa dianugerahkan pingat emas daripada yayasan doktor haiwan People’s Dispensary for Sick Animals di Britain, di atas “keberanian dan komitmennya kepada tugas”.

So Malen berkata, tikus mempunyai deria hidu yang amat tajam dan amat efektif dalam mengesan periuk api.

“Cumanya Magawa ini adalah wira kerana prestasinya jauh lebih laju dari tikus-tikus lain,” tambahnya.

 

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

29  −  24  =