Kembalikan kegemilangan koboi Bajau, budaya ternak kerbau

 Kembalikan kegemilangan koboi Bajau, budaya ternak kerbau

Perarakan kuda berhias kaum Bajau di Kota Belud.

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA Belud amat sinonim dengan perarakan kuda berhias Bajau atau `Nampang Rojo’ dalam masyarakat berkenaan, sehingga ramai terlupa daerah di utara Sabah itu juga popular dengan penjualan ternakan hidup pada masa silam.

Tradisi penjualan ternakan hidup mencakupi kerbau dan lembu yang diamalkan sebelum era kemerdekaan sebelum terhenti awal 1990 dan diaktifkan semula pada 2004, namun terhenti semula setahun kemudian.

Penjualan kerbau hidup sebenarnya adalah antara keistimewaan tamu itu kerana aktiviti ekonomi berkenaan tiada di pasar tradisi lain di negara ini, jika pun ada membabitkan penjualan daging segar ternakan ruminan.

Kumpulan penunggang kuda sempena sambutan ‘Nampang Rojo’

Kegiatan itu menyumbang kepada ekonomi penternak haiwan berkenaan kerana kewujudan tamu terbabit memudahkan mereka memasarkan ternakan tanpa perlu bersusah payah mencari peniaga dan mengelakkan orang tengah untuk membelinya.

Pada masa sama, penjualan kerbau di tamu yang beroperasi setiap Ahad itu sebenarnya menjadi produk untuk menarik kehadiran pelancong asing, sekali gus menjadi faktor penarik kepada mereka untuk bercuti ke Sabah.

Sesuatu yang merugikan apabila penjualan ternakan hidup dihentikan sehingga generasi muda terlupa kegemilangan daerah ini yang suatu masa dulu pengeluar kerbau terbesar Sabah.

Satu-satunya acara menggunakan kerbau yang popular di daerah ini adalah lumba kerbau yang biasanya tersenarai sebagai acara wajib Tamu Besar Kota Belud yang diadakan setahun sekali biasanya sekitar bulan Oktober sehingga Disember.

Kerbau juga digunakan untuk membajak sawah, namun haiwan itu semakin berkurangan fungsinya berikutan penggunaaan jentera membajak moden, namun masih ada petani menggunakan kerbau untuk meratakan sawah yang dibajak menggunakan traktor.

Tinjauan Wacana.my di tapak jualan ternakan hidup di Tamu Kota Belud atau `Semio Aad’ dalam bahasa Bajau mendapati separuh daripada tapak berkenaan diliputi belukar, manakala selebihnya dimajukan sebagai kafe sejak tiga tahun lalu.

Peralatan untuk menimbang dan kandang khas menempatkan ternakan sebelum dibeli pelanggan juga sudah tiada di tapak asal.

Sekitar 2004, penulis pernah mencadangkan kepada Pegawai Daerah Kota Belud ketika itu, Edris Yahya supaya tapak berkenaan dijadikan muzium mini yang menempatkan arca kerbau di atas alat timbang dan kandang untuk menempatkan ternakan itu sebelum beli.

Ini sebagai daya tarikan pelancong dan untuk pendidikan kepada generasi muda berhubung keunikan jualan ternakan hidup di daerah itu.

Ketika itu kerbau dijual pada harga antara RM800 hingga RM1,500 seekor bergantung kepada berat dan mengikut pasaran semasa.

Seperti rakan sebaya lain yang dilahirkan di daerah Kota Belud, penulis mempunyai kenangan menemani arwah ayah menjual kerbau, lembu dan ayam kampung hidup di Tamu Kota Belud pertengahan 198o-an.

Sebaik kerbau diturunkan dari kenderaan jenis pikap, seorang petugas yang juga menunggang kerbau akan bertindak menarik tali ternakan itu ke kawasan khas untuk ditimbang bagi menentukan harga haiwan berkenaan.

Jika harga ternakan atau `pengayam’ terlalu tinggi, berlaku tawar menawar harga sehingga kedua-dua pihak berpuas hati.

Tradisi menunggang kuda padi dalam kalangan masyarakat Bajau juga berkait rapat dengan penternakan lembu dan kerbau.

Ini kerana kuda adalah haiwan tunggangan ke kawasan padang ragut untuk menangkap ternakan berkenaan dengan cara ala koboi.

Biasanya orang kampung akan bekerjasama menangkap kerbau atau lembu menggunaka tali diikat pada buluh dan diletakkan ke leher lembu seperti filem koboi. Peralatan berkenaan dikenali sebagai `tapak’.

Ada juga `koboi Bajau’ yang mahir menggunakan tali dilemparkan ke leher lembu seperti gaya koboi dalam filem Barat. Apa yang menariknya pada masa itu, ada satu sistem dikenali `apin dan siapin’ yang bermaksud penternak akan mengupah mereka yang tiada ternakan dan anak lembu atau kerbau akan dijadikan upah.

Anak kerbau pertama menjadi milik pemilik ternakan itu, manakala anak kedua diberikan kepada penternak yang diupah dan begitulah selanjutnya. Sebab itulah pada masa dahulu kebanyakan masyarakat Bajau memiliki kerbau sehingga kerajaan menganugerahkan kampung tertentu tanah rezab padang ragut untuk kegiatan penternakan.

Sementara itu, tinjauan penulis ke kawasan padang ragut yang dimaksudkan iaitu Rizab Padang Ragut Bua’ Pintasan kira-kira 20 kilometer dari pekan Kota Belud mendapati, kegiatan penternakan masih dijalankan namun tiada lagi `koboi’ menjaga ternakan berkenaan, selain jumlah lembu dan kerbau semakin berkurangan.

Penulis berpendapat, budaya penternakan kerbau, selain lembu perlu dipertingkatkan semula berikutan pergantungan negara kepada daging import.

Pada masa sama, kegemilangan koboi Bajau yang mahir menunggang kuda untuk menangkap ternakan juga perlu dikembalikan, begitu juga sistem `apin dan siapin’.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

39  −  38  =