Kembali jadi umat terbaik promosi aman & damai

 Kembali jadi umat terbaik promosi aman & damai

Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

Setiap suku bangsa dan kaum, keturunan dan kabilah manusia, semuanya punya perpustakaan yang mengandungi bahan-bahan sejarah yang merupakan ilmu warisan masing-masing. Kita umat Melayu juga mempunyai legasi dan sejarah cemerlang yang seharusnya difahami, dikaji dan dihidupkan dalam masyarakat kita.

Bagi umat Islam, semua fakta dan hikmat kejadian Allah SWT malah segala kisah dan pengalaman hidup manusia dulu kala, juga cerita-cerita perjuangan dan risalah  rasul dan nabi yang lalu semuanya itu diabadikan di dalam al-Quran dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Rasulullah SAW walau pun hanya hidup dalam jangka masa yang agak singkat, iaitu selama 63 tahun, namun setiap detik dalam sejarah hayat Baginda, terutamanya sejak dipilih sebagai rasul oleh Allah SWT ketika menjangkau umur  40 tahun. Baginda telah diwahyukan oleh Allah SWT dengan pelbagai kisah umat, nabi dan rasul sebelumnya, selain amanah dan pengajaran yang lengkap serta menyeluruh sebagai panduan Baginda dalam menjalankan tugas sebagai rasul terakhir – penutup segala kitab suci dan tugasan amanah para rasul sebelum Baginda.

Al-Quran bukan buku sejarah, ekonomi, cerita, sains, teknologi, kosmologi, perubatan dan sebagainya. Namun kitab suci itu adalah satu mukjizat besar. Ia mengatasi segala perbendaharaan ilmu pengetahuan, kerasulan dan ketuhanan, wahyu dan pengajaran, ibadat, akidah, akhlak dan segala macam kehidupan dunia dan akhirat mahupun syurga dan neraka, manusia, jin, malaikat dan segala makhluk di dalam alam semesta, langit dan bumi, bukit bukau, lautan serta daratan.

Kebijaksanaan dan keistimewaan Nabi Muhammad SAW adalah kemuncak kejadian makhluk Allah SWT yang bernama ‘manusia’ iaitu makhluk yang dipilih Allah SWT untuk mewarisi alam semesta ini sebagai khalifah dan pengurusnya, iaitu ketika Allah SWT mengamanahkan bapa manusia iaitu Nabi Adam, untuk menjadi khalifah di bumi.

Proses  pertama pelantikan Adam ialah ketika Allah SWT mengajarnya ilmu mengenai nama benda-benda tertentu. Kemudian, dibuktikan di depan malaikat, yang sebelumnya menyatakan pandangan mereka bahawa ‘manusia’ yang akan melakukan segala kerosakan dan pertumpahan darah di atas muka bumi tidak sepatutnya dijadikan khalifah di bumi. Namun dibuktikan bahawa kerana ilmu inilah maka manusia mampu menjadi makhluk yang seharusnya mengendalikan pemerintahan di bumi (Al-Baqarah ayat 30 – 32).

Keturunan Adam inilah yang dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi nabi dan rasulNya. Menjadi pemimpin segala kabilah dan suku bangsa yang tertentu, dengan segala peristiwa dan hikmahnya yang diceritakan di dalam al-Quran untuk panduan serta pengajaran manusia seumumnya.

Kemuncak kecemerlangan manusia dan alam seluruhnya yang berlaku di dalam sejarah manusia, adalah berlaku ketika pimpinan Rasulullah SAW walaupun pada hayat Baginda yang singkat.

Inilah juga yang dibuktikan oleh kebijaksanaan dan akal manusia zaman kini, iaitu membangun dengan teknologi dan sains komunikasi dalam masa yang amat singkat. Ilmu dan daya cipta serta kreativiti manusia zaman ini amat tinggi mengatasi segala pencapaian nenek moyang kita dalam bidang pertanian dan perusahaan  walau pun kehadiran ilmu moden ini hanya berlaku dalam masa 50 atau 60 tahun yang terakhir ini sahaja.

Era komputer dan telefon pintar, internet dan elektronik, dalam talian, Google dan sebagainya, waze dan segala pemanduan elektronik, semuanya ini adalah satu keajaiban yang tidak pernah wujud dalam zaman generasi kita terdahulu yang hanya menyandarkan kepada makhluk halus, hantu raya dan jin tanah. Tetapi sekarang, bukan makhluk halus itu yang muncul, malah tekologi dan kepintaran akal manusia itulah yang menciptakannya.

Manusia yang diserahkan oleh Allah SWT untuk menguruskan alam ini ialah makhluk yang punya daya dan kekuatan akal fikiran yang dikurniakan Allah. Sesungguhnya ilmu dan kurniaan Allah SWT itu amat besar ruang lingkupnya. Allah SWT mengibaratkan bahawa sekiranya “seluruh air lautan dijadikan dakwat untuk menulis ayat-ayat Allah, nescaya dakwat itu akan kekeringan sebelum ayat-ayat Allah selesai ditulis, walau pun ditambah sekali ganda lagi(Surah Al-Kahfi), malah “sekiranya semua pokok dan pohon di dunia ini dijadikan pena dengan dakwatnya dari tujuh lautan, maka ilmu Allah itu tidak juga mungkin dapat dituliskan sepenuhnya” (Surah Al-Ankabut).

Inilah makna dan kekuatan manusia yang merupakan kejadian Allah SWT yang amat unik dan istimewa. Sekiranya umat Muhammad ini benar-benar mempelajari dan melaksanakannya, maka umat ini tidak akan berakhir di dalam lembah kelemahan dan ketinggalan seperti yang berlaku sekarang.

Malah sekiranya pengajaran dan hikmah ajaran Rasulullah SAW dan kandungan al-Quran itu sebenar-benarnya dihayati dan diamalkan oleh umat Muhammad, maka umat ini tidaklah hanya menjadi pengguna terhadap segala bidang ilmu, sebaliknya sebagai penyumbangnya.

Bagaimanakah sekiranya umat ini segera merancang kembali untuk menjadi umat terbaik dan tertinggi seperti yang disifatkan oleh al-Quran itu? Menjadi umat yang adil dan benar seperti yang diamanahkan Allah SWT kepada mereka?

Agenda ini haruslah dirancang dan direalisasikan oleh umat Muhammad. Ini  kerana umat Muhammad telah disifatkan malah dikonsepsikan sebagai umat yang terbaik, umat yang  adil dan benar seperti yang difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran.

Dari kalangan umat inilah, Allah SWT telah memilih nabi dan rasulNya. Di kalangan mereka dilantik sebagai pemimpin dan petunjuk jalan yang baik, menguruskan pengembalaan binatang ternakan, pohon-pohon dan tanaman yang berguna untuk manusia dan binatang ternakan mereka, selain

menyusun strategi peperangan, air minuman dan tasik, empangan dan pengurusan alam tabie, baju besi dan perisai, malah segala macam kelengkapan untuk kehidupan mereka di bumi Allah SWT yang makmur ini.

Inilah contoh umat terbaik yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dan dicitrakan oleh Allah SWT mengenai keagungan rasul dan nabi terdahulu di dalam kisah-kisah al-Quran yang amat kaya itu.

Dalam berinteraksi dengan masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama, bahasa dan budaya, sama ada di peringkat dalaman atau masyarakat dunia umumnya, umat Islam haruslah mengambil satu sikap dan mengisytiharkannya kepada dunia mengenai sikap itu. Tujuan supaya masyarakat bukan Islam akan dapat memahami apakah sebenarnya pendirian umat Islam dalam masyarakat antarabangsa sekarang ini.

Secara khususnya kita mesti mengkaji dan mengambil keputusan mengenai sikap serta pendirian kita di dalam isu-isu berikut:

  1. Sikap terhadap Barat – kita mesti menjelaskan kepada dunia bahawa sikap Islam terhadap mereka adalah sikap perdamaian dan keamanan. Islam mempunyai ajaran yang mengatur masyarakat manusia supaya dapat hidup bersama secara damai dan produktif. Kedua-dua belah pihak harus mempunyai semangat dan amalan toleransi serta hormat menghormati terhadap pihak yang lain untuk kepentingan bersama. Islam tidak menegah kita berbuat baik dan berlaku adil kepada orang lain yang tidak memusuhi kita kerana agama kita, dan yang tidak cuba untuk mengusir kita dari rumah tangga dan negara kita.
  1. Hal ini jelas dinyatakan dalam al-Quran (Surah al-Mumtahanah, ayat 8). Untuk mencapai tahap kehidupan yang harmoni dan saling bekerjasama ini, maka pihak Barat dan masyarakat bukan Islam harus memahami konsep tolak ansur dan tolong menolong mengikut ajaran Islam. Peristiwa 11 September 2001 memperlihatkan sikap prejudis Barat terhadap Islam dan orang Islam sendiri. Malah peristiwa itu ada kalanya dijadikan alasan untuk menindas dan menganiaya umat Islam seperti berlaku di Afghanistan, Iraq dan Palestin. Maka dalam hal ini, di samping bersimpati dengan mangsa serangan yang berlaku pada 11 September itu, maka kita juga berharap bahawa peristiwa itu tidaklah pula seharusnya dijadikan lesen bagi orang bukan Islam untuk menyerang orang Islam yang tidak berdosa atas dasar war against terror.
  1. Umat Islam juga seharusnya menentukan pendirian dan menjelaskan dasar ajaran Islam yang sebenarnya terhadap isu kekerasan serta keganasan. Perlu juga dijelaskan mengenai ajaran Islam terhadap gerakan radikalisme, ekstrimisme dan sebagainya yang membawa gejala keganasan dan konfrantasi bagi memperjuangkan sesuatu hak, atau menegakkan hujah dalam mengemukakan sesuatu pandangan dan gagasan kita.
  1. Hal ini perlu difahami dalam konteks masyarakat Islam sesama Islam, dan di antara masyarakat Islam dengan bukan Islam. Yang jelas dari ajaran Islam bahawa Islam menolak dasar kekerasan dan keganasan, sikap radikal dan melampau, juga sikap kasar dan konfrantasi secara melulu. Umat Islam sekarang ini terlalu banyak yang mengambil cara ini, sama ada dalam masyarakat Islam secara bersama, atau dengan masyarakat lain yang bukan beragama Islam. Sedangkan Islam telah menetapkan sempadan dan adab tertentu dalam berkonflik serta berselisih pandangan.
  1. Kita seolah-olah tidak mahu lagi menghormati hak kebebasan pemikiran orang lain, atau hak orang lain untuk mengemukakan pandangan dan hujah mereka. Kita kadang-kadang merasa rendah diri untuk duduk semeja bagi berdialog dengan orang lain. Sikap ini mengakibatkan rasa sombong dan bongkak. Malah, ia sering menjadi pendorong untuk berkonfrantasi dan bertentangan secara kasar dalam budaya ‘perang’ yang tidak berkesudahan. Sikap ganas dan keras inilah yang sering dibesar-besarkan oleh Barat dan dilabelkan pada Islam serta umatnya. Seterusnya, Islam telah dihubungkan dengan kekerasan dan keganasan. Maka dengan itu, imej Islam menjadi terlalu amat negatif.
  1. Satu isu kontraversi yang timbul dalam proses perjuangan rakyat umat Islam dalam mempertahankan diri ialah tindakan berani mati, iaitu satu cara serangan yang dilakukan terhadap musuh dengan cara mengikat dirinya dengan bahan letupan, kemudian meletupkan dirinya di mana-mana sahaja yang dijadikan sasaran untuk ‘membunuh musuh’ tanpa mengira sama ada orang awam, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa. Yang menjadi isu bagi kita ialah pandangan agama dalam hal ini – apakah Islam membenarkan pembunuhan diri untuk membunuh orang lain? Dan apakah kita boleh bertindak membunuh orang awam yang tidak berdosa atas nama perjuangan untuk membebaskan negara dari musuh? Apakah terdapat fatwa yang mengatakan bahawa  perlakuan tersebut termasuk di dalam istilah Harakah al-Istisyhadiyyah (gerakan syahid) merupakan satu perjuangan suci, dan orang yang terkorban di dalamnya adalah termasuk ke dalam kategori orang yang mati syahid.
  1. Kepercayaan karut dan khurafat, mengamalkan tradisi lama yang tidak produktif, penyelewengan dalam kehidupan akibat dari kejahilan terhadap ajaran agama dan sebagainya.
  1. Di samping membetulkan kefahaman Islam di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam, maka segala tingkah laku dan tindakan orang Islam haruslah diteliti, supaya segala tindakan itu tidak bercanggah dengan adab sopan dan tata susila agama serta budaya yang tinggi di kalangan masyarakat manusia yang bertamadun.

Orang Islam, terutama kalangan pendakwahnya, harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan budi pekerti yang baik untuk menarik orang lain supaya memahami serta merasa mesra dan selamat dengan Islam. Di samping itu, mereka harus mempunyai kelayakan untuk berbicara dengan orang ramai di segenap peringkat iaitu kelayakan dari segi psikologi dan akal fikiran, tutur kata serta perbuatan. Kita sering berbicara dengan sasaran yang salah ketika berdakwah atau menjelaskan mengenai Islam, dan kita juga sering menembak sasaran yang salah dalam usaha kita menyerang musuh Islam. Hal ini perlulah disedari dan difahami dengan betul.

Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

52  −    =  50