Kematian George Floyd, perbicaraan bekas polis Derek Chauvin bermula Isnin

 Kematian George Floyd, perbicaraan bekas polis Derek Chauvin bermula Isnin

WASHINGTON, 29 Mac — Perbicaraan ke atas bekas pegawai polis Amerika Syarikat (AS) Derek Chauvin, yang didakwa membunuh George Floyd, bermula pada Isnin di Minneapolis, hampir setahun selepas kematian lelaki berkulit hitam  itu.

Kematian Floyd mencetuskan gelombang protes besar-besaran dan hangat diperkatakan mengenai isu perkauman, sistem polis serta sejarah Amerika dan cara menangani kesaksamaan kaum, lapor Sputnik.

Floyd, 46, meninggal dunia pada 25 Mei tahun lalu setelah Chauvin yang berkulit putih dan tiga pegawai lain menangkapnya di luar sebuah kedai Minneapolis, kerana dituduh menggunakan wang palsu US$20.

Sebuah video insiden berkenaan tular memaparkan Chauvin menekan lututnya di leher Floyd selama lebih lapan minit,  Floyd sempat menjerit dia tidak boleh bernafas, sebelum tidak sedarkan diri. Dia disahkan meninggal dunia di hospital pada hari kejadian.

Empat anggota polis yang terlibat dalam insiden itu dipecat dan kemudian ditahan. Chauvin, 45, didakwa dengan tuduhan menyebabkan kematian yang membawa hukuman penjara beberapa dekad. Dia  mengaku tidak bersalah.

Tiga pegawai lain berhadapan tuduhan bersubahat  dengan bekas rakan sekerja mereka. Mereka akan dibicara kemudian.

Mengenai perbicaraan Chauvin di Minnesota, hakim buat pertama kali mengizinkan ia dijalankan secara terbuka kerana menyifatkan kes itu membabitkan kepentingan awam, di tengah sekatan COVID-19.

Bekas pegawai polis itu mempunyai rekod terbabit dalam tiga kejadian tembakan sebelum ini dan dilaporkan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan sambilan bersama dengan Floyd di kelab tempatan. Perbicaraan akan dijalankan di depan 15 juri, enam daripadanya berkulit hitam atau berbilang kaum.

Perbicaraan itu diadakan beberapa hari selepas Minneapolis bersetuju membayar US$27 juta kepada keluarga Floyd untuk menyelesaikan prosiding undang-undang berhubung kematiannya ketika dalam tahanan polis.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

47  −    =  39