Kemas pertingkat modul STREAM di Tabika

 Kemas pertingkat modul STREAM di Tabika

Gambar fail

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan mempertingkatkan modul pengajaran dan pembelajaran Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM) di taman bimbingan kanak-kanak (Tabika), kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata kaedah dan modul STREAM ketika ini menggabungkan komponen inkuiri, penaakulan, kolaborasi dan penerokaan untuk membangun kebolehan kanak-kanak dalam mengaplikasi pengetahuan serta kemahiran.

“Selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’, Kemas turut menekankan modal insan yang berpengetahuan dan berinovatif yang merupakan antara ciri modal insan yang ingin dibentuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata program Hari Potensi Kemas dilaksanakan secara maya selama lima hari bermula Isnin lepas bagi membangunkan potensi kanak-kanak secara holistik dan menghasilkan individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Antara acara dalam program Hari Potensi Kemas itu ialah Bercerita Sirah Rasul, Si Bilal Cilik, KEMAS Kids Top Host dan Rekacipta 2.0 berpasangan bersama ibu bapa, dalam usaha untuk melahirkan kanak-kanak yang serba boleh dan berwibawa dalam kehidupan.

“Kejayaan kanak-kanak tidak hanya bertumpu di dalam program pembelajaran semata-mata tetapi turut meliputi aspek pendidikan di rumah atau pendidikan secara tidak formal,” katanya.

Beliau berkata seramai 50,000 penonton dijangka mengikuti program Hari Potensi Kemas itu.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *