• Sunday, 20 June 2021, 9:18 am

Keluarga mangsa kemalangan tren tuntut RM1.8 juta

 Keluarga mangsa kemalangan tren tuntut RM1.8 juta

Antara penumpang yang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen KLCC dibawa keluar untuk dihantar ke hospital malam ini. –foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Berikutan tulang belakangnya retak dan kecederaan serius di kepala, keluarga Wong Chee Foong, 52, hari ini mengumumkan tuntutan pampasan RM1.8 juta dari pengedali tren LRT Prasarana Malaysia Bhd.

Menurut laporan MalaysiaKini, peguam yang mewakili keluarga mangsa, Jazzmin Khoo berkata tuntutan itu merangkumi perbelanjaan perubatan, kerosakan fizikal, tekanan mental dan emosi, trauma, kehilangan pendapatan, ganti rugi khas dan umum akibat kecuaian yang disebabkannya.

Bercakap kepada wartawan pada sidang akhbar, isteri mangsa Joyce Wong, 42 berkata beliau kesal pihak yang bertanggungjawab kerana tiada permohonan maaf atau sokongan moral kepada anggota keluarga penumpang yang cedera.

“Saya kecewa dengan cara Prasarana menangani perkara ini. Sudah enam hari sejak tragedi itu, kami belum menerima surat rasmi, permintaan maaf rasmi dan sokongan moral daripada Prasarana.

“Bayaran (bantuan khas) sebanyak RM1,000 yang ditawarkan oleh Prasarana kepada kami tidak akan cukup atas kerosakan yang telah terjadi. Takkan pernah cukup,” katanya.

MalaysiaKini melaporkan Wong mengalami kecederaan serius di kepala dan tulang belakang dalam pelanggaran antara dua tren LRT, baru-baru ini.

Bapa kepada empat cahaya mata itu masih berada di unit rawatan rapi (ICU) dan belum sedarkan diri.

“Ketika saya bercakap dengan media ini, suami saya sedang menjalani pembedahan selama lapan jam untuk memperbaiki tulang belakang dan tulang mukanya yang retak. Skru, piring dan batang akan dimasukkan ke dalam tubuhnya,” katanya.

Tambah Wong,  suaminya telah menjalani pembedahan pertama pada Khamis lalu untuk memperbaiki tulang tengkoraknya.

Wong tidak pasti sama ada suaminya dapat berjalan seperti sebelumnya dan dapat kembali bekerja sebagai tukang masak.

Peguam Jazzmine Khoo, yang mewakili keluarga mangsa berkata anak guamnya memberikan Prasarana tujuh hari sehingga Isnin depan untuk membalas notis tuntutan undang-undang yang dihantar kepada kepada pengendali LRT pagi ini.

“Kami berharap akan mendapat jawapan segera supaya kami dapat membincangkan lebih lanjut mengenai jumlah (pampasan RM1.8 juta) yang diminta oleh anak guam saya,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *