Keluarga Malaysia: Amanah Perdana Menteri baharu

 Keluarga Malaysia: Amanah Perdana Menteri baharu

PERDANA Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam ucapan sulungnya setelah dilantik memegang pimpinan tertinggi negara, mengeluarkan ‘kata kunci’ yang amat penting bagi seluruh pimpinan negara dan rakyat Malaysia, iaitu konsep dan istilah ‘Keluarga Malaysia’.  Beliau menekankan tentang kesepaduan rakyat Malaysia yang terdiri dari kepelbagaian etnik dan agama dalam menyatu padukan tenaga membina negara dan menentang penularan pandemik COVID-19 pada masa kini.

Sebelum menubuhkan barisan Kabinetnya lagi, beliau mungkin telah dapat menyaksikan dan memahami keadaan negara yang agak berpecah belah dan berlaku krisis tersembunyi di antara parti-parti politik yang berbeza-beza, bukan hanya dalam kepelbagaian etnik, malah dalam satu kaum sendiri terdapat pertentangan yang agak ketara, sehingga rakyat pada umumnya merasa gelisah dengan keadaan yang agak kritikal ini.

Istilah keluarga merupakan satu simbol budaya dan sistem kemasyarakatan bagi semua kaum di negara kita, kerana istilah ini masih kita kekalkan dari sudut konsepnya, sama ada yang berkeluarga secara keturunan dan darah yang sama, atau pembentukan keluarga melalui perkahwinan, yang keseluruhan keluarga ini merupakan satu badan dan anggota yang satu, dengan segala perhubungan kemesraan dan pertalian yang amat kuat, tidak seperti adat dan budaya di beberapa dunia maju lain yang tali perpaduan keluarga mereka tidak sekuat perhubungan kekeluargaan di dunia kita ini.

Oleh itu pertama sekali rakyat kita terutamanya dalam pembangunan politik negara sekarang ini haruslah memahami bagaimanakah ikatan kekeluargaan itu harus diperkemaskan dan dibangunkan mengikut keadaan masa dan zaman agar nama baik negara kita dapat kembali menjadi kuat dan berpadu.

Saya ingin memetik satu pandangan bernas dari Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang membicara dan memberikan pandangan tentang falsafah kesatuan bangsa di negara kita ini. Beliau menulis agak lama dulu, bahawa “Selepas berlaku peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969, dalam tempoh 50 hari, Jabatan Perpaduan Negara (JPN) ditubuhkan Kerajaan. Iltizam mewujudkan perpaduan ini diperkukuh dengan pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 melalui Rancangan Malaysia Kedua 1971-75. DEB mempunyai dua objektif bersifat ekonomi, tetapi matlamat akhir pelaksanaannya ialah untuk mencapai ‘perpaduan nasional.’ Pada tahun 1972, JPN dinaik taraf kepada sebuah kementerian penuh, iaitu Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di bawah pimpinan Tun VT Sambanthan sehingga tahun 1974”.

Profesor Ulung seterusnya menjelaskan bahawa kefahaman tentang perpaduan kaum ini masih agak lemah dan tidak difahami dengan baik oleh rakyat dan ahli politik negara kita, yang bolehlah disifatkan sebagai ‘pemikiran lama’, yang tidak bertaraf antarabangsa dan kesatuan dalam negara kita sendiri.

Oleh itu ketika Perdana Menteri kita membangkitkan isu utama tentang perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia ini maka istilah ‘pemikiran lama’ atau old school ini haruslah difahami oleh rakyat dengan sebaik-baiknya kerana kefahaman mengenai perpaduan kaum dan dalam istilah baru PM kita ‘keluarga Malaysia’ ini sering difikirkan secara yang simplistik atau literal yang sering menjadi pemikiran rakyat umum, terutamanya ahli politik serta para pentadbir semenjak tahun 1969 ketika negara kita mencari formula perpaduan kaum akibat dari peristiwa 13 Mei.

Sebenarnya isu yang ditimbulkan oleh Perdana Menteri kita seperti di atas sering juga dikemukakan dalam bentuk soalan yang meminta penjelasan tentang perpaduan kaum yang sering juga digambarkan sebagai persoalan yang lama, dan hanya membicarakan perpaduan itu secara ‘simplistik’ dan ‘literal’ semata-mata.

Jawapannya sering diperkatakan di dalam perbincangan di sana sini, bahawa ‘simplistik’ bermaksud pengertian perpaduan, suatu hal yang kompleks, dipermudahkan dengan contoh fizikal. Misalnya, kalau lebih kerap kita duduk rapat dan makan bersama dalam sebarang jamuan semakin kuat perpaduannya.  Contohnya, terlalu banyak sekali jamuan makan durian yang dihadiri oleh semua kaum diadakan di sekitar Kuala Lumpur selepas 13 Mei. Durian habis, perpaduan belum tentu.

Malah perpaduan dalam bentuk ‘literal’ ialah yang bermaksud “….disebabkan kata akar perpaduan ialah ‘padu’ seperti sebuah batu bata padat dan padu, maka dipersepsikan bahawa akhirnya apabila tercapai perpaduan pun mesti padu atau solid sifatnya. Oleh itu sehingga kini ramai yang menganggap perpaduan belum wujud kerana ia masih longgar dan belum padat serta padu. Lalu, semua mengeluh kemudiannya”.

Oleh itu, kembali kepada kata kunci yang amat baik dari PM kita yang baharu iaitu tentang ‘keluarga’ maka istilah ini haruslah diterjemahkan dalam segala perancangan dan perlaksanaan dasar negara, malah semua golongan rakyat haruslah memahami apakah konsep dan realiti hubungan keluarga, dan perbezaan serta tradisi tertentu tentang adat dan budaya kumpulan keluarga itu yang seharusnya di fahami dari segi kesatuan dan perbezaannya.

Banyak nilai universal atau sarwajagat yang sering dikongsi oleh semua kaum dan etnik serta pemeluk agama yang seharusnya dikongsikan untuk membentuk sebuah masyarakat yang berintegriti, malah banyak pula perbezaan, terutamanya dalam amalan agama yang harus dihormati seperti yang tertulis di dalam Perlembagaan negara kita sendiri, malahan banyak pula amalan budaya serta tradisi ketimuran yang seharusnya dikongsikan dengan baik oleh rakyat negara kita yang harus difahami, supaya perpaduan kaum itu benar-benar dapat difahami dan dihayati di dalam masyarakat kita, Dalam masyarakat plularisme banyak juga moto yang terkandung di dalam istilah bahasa, seperti Perpaduan di dalam Kepelbagaian (Unity in Diversity) Bersetuju Untuk Tidak Bersetuju (Agree to Disagree) yang mempunyai kepentingan di dalam kaum keluarga, yang seharusnya difahami falsafahnya oleh semua anggota keluarga.

Semoga kata kunci yang dinyatakan oleh PM kita yang baharu, akan dapat difahami falsafah dan pelaksanaannya yang menyeluruh oleh semua warga pimpinan dan rakyat negara kita seluruhnya.

Tan Sri Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  4  =