Keluar duit KWSP i-Citra kena bayar zakat?

 Keluar duit KWSP i-Citra kena bayar zakat?

Baru-baru ini, tular di media sosial netizen melahirkan rasa kecewa apabila tuntutan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara ‘one-off’ tidak dimasukkan dalam Bajet 2022.

Namun dalam masa kita semua sibuk dengan pengeluaran tersebut, tahukah anda bahawa penerima yang beragama Islam ini perlu menunaikan tanggungjawab untuk membayar zakat?

Zakat adalah ibadah yang memiliki dua dimensi iaitu sebagai bentuk ketaatan kepada Allah dan kewajiban kepada sesama manusia. Ia turut terkandung dalam rukun Islam keempat yang mana, menjadi satu kewajipan bagi umat Islam untuk menunaikan ibadah itu.

Dari sudut bahasa pula, zakat bererti bersih, suci, subur, berkat dan berkembang.

Sementara itu dari segi syarak, zakat ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu untuk diberikan kepada asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.

Menurut kenyataan dari pihak Lembaga Zakat semasa dihubungi oleh Wacana.my ada menjelaskan secara asasnya apa-apa jumlah wang dikeluarkan daripada KWSP berdasarkan kriteria tertentu adalah wajib dizakatkan khasnya apabila jumlahnya melebihi nisab (paras minimum).

Walau bagaimanapun, pengeluaran seumpama ini meskipun tidak mencukupi nisab, ia perlu ditaksir bersama sumber pendapatan yang lain bagi melengkapkan nisab untuk tujuan zakat.

Namun pihak Lembaga Zakat turut menyatakan bahawa bayaran zakat bagi kemudahan pengeluaran KWSP (i-Sinar, i-Lestari & i-Citra) itu adalah bergantung kepada tiga situasi dimana jika jumlah yang dikeluarkan secara keseluruhannya tidak melebihi nisab dan khas bagi yang terkesan dengan Covid-19 sama ada hilang punca pendapatan atau tidak bekerja, zakat tidak diwajibkan (dikenakan) ke atas pengeluaran terbabit.

Zakat dikenakan apabila simpanan KWSP itu dikeluarkan dan hendaklah mencukupi nisab semasa dikeluarkan. Jika simpanan KWSP yang dikeluarkan itu disimpan pula selama setahun, maka akan dikenakan sekali lagi sebagai zakat wang simpanan.

Memetik kenyataan dari Pengurus Unit Syariah Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abdul Rahman, situasi itu bergantung kepada keadaan sesama individu memandangkan pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh pandemik.

“Katakan pencarum adalah seorang majikan atau pemilik syarikat, dia mengeluarkan wang KWSP menerusi program i-Sinar dan wang tersebut digunakan sepenuhnya untuk melangsaikan hutang-piutang serta gaji pekerja, maka ia tidak perlu dizakatkan.

“Bagaimanapun sebab-sebabnya kena jelas dan memang terbukti digunakan untuk menyelesaikan hutang,” katanya.

Amaun nisab bagi tahun 2021 menerusi kalkulator zakat PPZ-MAIWP ialah RM20,299. Ini bermakna, jika pengeluaran wang i-Sinar melebihi jumlah itu, individu terlibat perlu membayar zakat dengan syarat dia tidak terjejas daripada sumber pendapatannya.

Namun ingin di ingatkan, sungguhpun pada asasnya hukum zakat KWSP adalah wajib, namun pelaksanaan bagi negeri masing-masing mungkin terdapat sedikit perbezaan. Maka, seeloknya anda merujuk kepada Pusat Zakat negeri masing-masing agar cara pembayarannya lebih tepat.

Akhir kata, jangan bertangguh lagi kerana dalam setiap bahagian harta kita, sebenarnya ada hak orang lain. Bahkan, zakat adalah cara bagi umat Islam menyucikan harta dan jiwa. Begitulah indahnya ajaran Islam agar setiap umatnya saling membantu dan mengasihani antara satu sama lain.

Irmamusliana Mustajab

emma@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  4  =