• Sunday, 20 June 2021, 9:24 am

Kelajuan drif rangsang Amirul ‘Dubai’

 Kelajuan drif rangsang Amirul ‘Dubai’

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Feb: Minat mendalam dan sokongan keluarga mendorong seorang anak muda berusaha mencipta nama dalam acara pemanduan drif sambil mengharumkan nama negara di pesada dunia.

Bagi pelumba drif negara, Mohammad Amirul Ashraf Mohmad Taufek, 26, sukan yang diminati itu sebenarnya bagus bagi membina keyakinan diri seseorang.

Beliau yang terpilih sebagai wakil tunggal Malaysia bagi cabaran King of Nations World Championship (Kejuaraan Drif Dunia) di Dubai pada 2016, adalah antara pelumba drif termuda di negara ini.

Amirul meminati kenderaan khususnya kereta sejak kecil lagi dan memilih sukan drif kerana ia memberikan beliau adrenalin yang tidak boleh didapati dalam sukan lain.

“Saya mula menyertai bidang pemanduan ini pada 2013 selepas habis peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Sukan ini memberi saya kepuasan serta merangsang adrenalin kerana kelajuan kereta itu memaksa saya untuk berfikir secara pantas.

“Saya berlatih setiap hujung minggu di Speed City KL selama enam bulan. Ini merangkumi teknik-teknik asas drif selain berjumpa dan berkongsi pengalaman dengan pelumba lain yang turut berlatih di situ.

“Antara skil utama saya adalah ‘line’ iaitu mengikut arahan garis yang ditetapkan juri. Itu yang akan saya pastikan demi meraih mata tertinggi nanti,” katanya kepada Wacana.my

Amirul turut mempunyai persatuan perlumbaan bernama Ash Legacy Motorsports dan telah membelanjakan lebih RM100,000 untuk menyediakan sebuah kereta drif.

Selain itu, beliau perlu memperuntukkan RM8,000 bagi penyelenggaraan kereta apabila setiap kali hendak menyertai kejuaraan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ayah saya Mohmad Taufek Saim, kerana pada mulanya beliau yang mengeluarkan perbelanjaan untuk menampung pelbagai keperluan kejuaraan.

“Kos menyertai kejuaraan bukan sedikit. Harga kereta sahaja berada dalam lingkungan RM20,000 hingga RM30,000 manakala sebiji tayar yang digunakan berharga RM700 dan saya menggunakan sekurang-kurangnya 20 set tayar,” katanya.

Amirul yang juga bekerja sebagai juru ukur tanah, turut mempunyai perniagaan penyediaan kereta sewa dan pengangkutan bagi menampung hobi beliau.

Tambahnya, kemalangan adalah perkara biasa dan setiap kereta drif perlu dilengkapi ciri-ciri keselamatan maksimum bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

“Apabila seseorang memandu kereta pada kelajuan lebih 100km sejam serta membelok dalam keadaan laju, apa-apa sahaja boleh terjadi.

“Semasa berlatih atau dalam kejuaraan, saya pernah beberapa kali terlibat dalam kemalangan, namun Alhamdulillah saya tidak pernah mengalami kecederaan teruk, hanya setakat terseliuh,” katanya.

Bagi Amirul, idola tempatan bagi sukan berkenaan adalah Prince Drift Malaysia Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel manakala idola luar negara adalah Daigo Saito dan James Deane.

Menurutnya, sukan drif kurang mendapat sambutan di Malaysia dengan pemandu aktif yang tidak melebihi 300 orang manakala yang menyertai kejuaraan antarabangsa tidak melebihi 10 orang.

Katanya, ramai anak muda mahu menceburi bidang ini tetapi kos yang tinggi dan kesukaran mendapat penajaan telah merencatkan semangat mereka.

Baginya, hobi drif lebih kepada cabaran untuk diri sendiri dan beliau sudah sedia maklum bahawa kosnya lebih tinggi daripada hadiah kemenangan.

Beliau berharap semua pihak memandang tinggi dan bersama-sama mengangkat martabat sukan drif yang selama ini kurang diberi perhatian di negara ini, sedangkan di peringkat antarabangsa, ia sudah menjadi fenomena.

Saksikan Amirul menunjuk skil dalam video di bawah:

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *