Kelab kaki pancing rumah rakit tarik 34 ribu ahli

 Kelab kaki pancing rumah rakit tarik 34 ribu ahli

Oleh Mohd Kamal Ahmad

Sungai Johor.

Di sini pernah tercatat peristiwa dan kecemerlangan zaman silam. Peninggalan sejarah kerajaan dan tamadun Melayu ada di kanan kiri sungai sejak abad ke-13.

Hari ini, ratusan rumah rakit ada di Sungai Johor, kebanyakannya untuk kaki pancing dan bakinya, untuk ternakan ikan. Kaki pancing memburu pelbagai spesies ikan muara dan laut gred A. Gelama papan, gerut, tebal pipi, pari, tenggiri, alu-alu, merah, unga, kerapu, siakap, siakap merah dan jenahak adalah antara ikan yang kerap tumpas. Saiznya, dari sekilogram hingga mencecah puluhan kilogram seekor.

Kaki pancing rakit ada penaungnya iaitu Kelab Merakit Johor Lama (KMJL). Ia ditubuhkan pada 2013, dan kemudiannya menjadi Persatuan Kelab Merakit Johor Lama (PKMJL) pada 2015. Kini, lebih 34,200 pemancing dari seluruh negara menjadi ahli kelab ini. Pengerusi KMJL, Helmi Bahkiar, berkata antara kelebihan ahli kelab ialah mendapat diskaun bagi bayaran memancing di mana-mana rakit yang bekerjasama dengan PKMJL.

Antara rakit yang popular ialah Rakit KRS, Rakit Yoyo, Rakit Pancing Sungai Papan, Chalet JoJo Rakit, Rakit Mamat, Rakit Rasul, dan Pengkalan Bot Abah Bai Danz Sungai Lebam. Rakit lain ialah Kampung Salam Rakit, Pengkalan Bot Pak Ngah, Rakit Pancing Air Bintan, Rakit Jom Ngail JDT, Rakit Are Tan Lobster, Rakit Haji Mahadi, Rakit Ayah Handal, Rakit Mancing Aman, Rakit Alan dan Rakit Kayau.

“Rakit-rakit ini dibuka sepanjang tahun selagi ia dibenarkan beroperasi. Tetapi waktu yang paling bagus untuk memancing di rakit ialah selepas musim hujan (tengkujuh),” kata Helmi, yang turut berkongsi video beliau memancing ikan tebal pipi dan gerut di Rakit Mamat di Tanjung Buai.

100 rakit tunggu kaki pancing

Lebih 100 pemilik rakit pancing di Sungai Johor mengalu-alukan kunjungan kaki pancing. Mereka hanya mengenakan bayaran serendah RM25 seorang untuk memancing 24 jam.

Rakit juga boleh ditempah sepenuhnya sekiranya kaki pancing datang berkumpulan dan berkeluarga.

Pengerusi Persatuan Kelab Merakit Johor Lama (PKMJL), Helmi Bahkiar berkata, tempahan boleh diuruskan langsung dengan pengusaha rakit. Facabook KMJL ada memaparkan nombor telefon pengusaha rakit dan penjual umpan serta jadual pasang surut laut.

Untuk keselesaan pelanggan, ada pengusaha rakit menyediakan bilik tidur berhawa dingin dan hidangan makan. Pakej ini lebih banyak ditempah pemancing yang datang bersama keluarga. Tapi jika ingin lebih adventure, pemancing boleh masak sendiri.

PUAS HATI: Nikmati aktiviti pancing di atas rakit

Rata-rata rakit pancing ada kemudahan bilik tidur, bilik air, dapur memasak, bekalan elektrik atau lampu bateri. Ada juga yang menggunakan kuasa solar. Rakit ini juga lengkap dengan bekalan air paip atau air bersih.

“Rumah rakit di sini juga dijamin selamat. Pelanggan boleh berlindung jika hujan. Pelanggan juga boleh bermalam di rakit. Cumanya, pelanggan perlu lebih berjaga-jaga jika membawa kanak-kanak dan keluarga,” kata Helmi.

Memancing ketika hujan tidak menjadi masalah. Cuma, spesies buruan agak terhad. Ikan pengacau seperti kerong, belin dan buntal pula lebih galak memakan umpan.

Helmi mengulangi, pemancing yang menyertai PKMJL akan dapat kad keahlian yang melayakkan mereka mendapat diskaun bila memancing di rakit yang bekerjasama dengan persatuan.

Ahli juga akan mendapat diskaun yuran pertandingan memancing anjuran PKMJL serta diskaun apabila membeli baju atau barangan persatuan.

Ingin menjadi ahli KMJL? Sila layari – https://www.facebook.com/groups/AdminKMJL/?ref=share

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

98  −  90  =