• Thursday, 17 June 2021, 2:18 pm

Kekeliruan dalam SOP pergerakan NGO

 Kekeliruan dalam SOP pergerakan NGO

Foto WMY/Supian Ahmad

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Sejak perintah kawal pergerakan penuh ‘Total Lockdown‘ dikuatkuasakan, banyak pihak terkesan terutama golongan pekerja harian.

Susulan itu, gabungan NGO Talian Koordinasi Kembara Kitchen yang menggabungkan lebih 20 NGO di seluruh Malaysia mula bersiap sedia mengagihkan bantuan makanan kepada yang memerlukan.

Namun kekeliruan dalam arahan dan SOP untuk pergerakan badan kebajikan menyukarkan tugas mereka.

Menurut SOP terkini, badan kebajikan harus mendaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah yang terdekat.

Wacana.my menemui pengasas Talian Kembara William Cheah bagi mendapatkan pandangan beliau.

“Masalah timbul apabila had sempadan PKOB tidak selaras dengan data penerima bantuan NGO,” katanya.

Sebagai contoh, menurut William sukarelawan perlu ke pusat pengumpulan bantuan mereka di Seksyen 32 Shah Alam dan bantuan diagihkan ke seluruh Selangor dan Kuala Lumpur.

“Hanya dari Pusat kami K3C untuk menghantar bantuan di PPRT Lembah Subang contohnya, sukarelawan perlu mendaftar di beberapa PKOB walaupun barangan tidak dihantar ke kawasan PKOB tersebut, malah ada yang tidak menerima arahan untuk menerima pendaftaran sukarelawan,” katanya.

Menambah lagi kekusutan, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab mengeluarkan surat pergerakan kepada badan kebajikan.

“Siapa yang beri surat untuk NGO bekerja? Jika mereka mahu anggota JPAM atau Rela mengikuti perjalanan kami siapa yang akan membayar kos itu, dari mana kami mahu dapatkan khidmat ini dan anggota tersebut perlu datang dari daerah mana?” soal William.

Selain itu syarat pendaftaran atau pemaklumkan kepada PKOB adalah tiga hari sebelum penghantaran sedangkan NGO menerima permohonan individu secara mengejut atau ‘adhoc’.

“Adakah mereka akan dibiarkan kelaparan selama tiga hari sementara kami tunggu surat pergerakan?” katanya.

William berharap pihak berkuasa lebih peka tentang pergerakan badan kebajikan dan tidak menyamakan pergerakan kumpulan tersebut dengan sektor ekonomi.

“Jika mereka wajibkan semua sukarelawan mendapatkan suntikan vaksin, kami sudah melakukannya. Semua sukarelawan kami sudah mendapatkan sekurang-kurangnya 1 dos vaksin,” katanya.

Mengenai SOP pula, semua sukarelawan badan kebajikan Talian Kembara sudah maklum dan mengikut SOP dalam menjalankan tugas masing-masing.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *