Kekalahan ini akan menjadi pengajaran – Muhyiddin

 Kekalahan ini akan menjadi pengajaran – Muhyiddin

MELAKA : “Kekalahan ini akan menjadi menjadi pengajaran dan panduan tentang langkah seterusnya yang akan diambil oleh PN dalam pilihan raya akan datang.

“Ini adalah jihad dan kita mahu supaya pengundi beri penilaian yang adil apa yang kita pertaruhkan”.

Demikian ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada hari ini tidak menjejaskan gabungan dalam PN.

Tegas Muhyiddin atau lebih mesra dengan sapaan Abah itu menegaskan, PN dan parti komponennya akan terus menjadi wadah politik kepada rakyat Malaysia.

“Apakah saya akan tinggalkan parti saya dan kembali kepada parti asal saya? Itu sama sekali tidak akan berlaku.

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PN sudah berhijrah jauh dan yakin prinsip asas dan menawarkan suatu bentuk parti menyokong kerajaan ke arah lebih baik dan prinsip ketelusan.

“Rakyat mempunyai hak untuk membuat pilihan dalam membuat pertimbangan supaya kita dapat tawarkan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Muhyiddin berucap dalam sebuah sidang media di sebuah hotel di bandar Melaka, sebentar tadi.

Selain itu, Muhyiddin percaya PN akan bakal berperanan sebagai pencabar utama kepada Barisan Nasional (BN) pada masa akan datang.

PN hanya menang dua daripada 28 kerusi yang ditandinginya dalam PRN Melaka.

Muhyiddin berkata, PN akan menjalankan kajian mendalam berkaitan kekalahan dalam PRN kali ini dan memperbaiki kesilapannya di masa depan sekali gus bersedia untuk pilihan raya depan.

Jelas Muhyiddin, jumlah pengundi yang keluar rendah dan jentera parti serta beberapa masalah menjadi tumpuan kajian itu kelak.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  41  =  47