Kehidupan 13 beranak kian terhimpit sejak PKP

 Kehidupan 13 beranak kian terhimpit sejak PKP

Faridah (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada Nor Aziah di rumahnya di Kampung Kempas Baru, Johor Bahru hari ini. Foto WMY/Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 18 Jun — “Kehidupan kami semakin menjadi susah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. JIka PKP masih berlarutan, tidak tahu bagaimana masa depan kami.”

Demikian luahan seorang suri rumah Nor Aziah Anuar, 39, yang mempunyai 11 orang anak kini menghadapi kesempitan hidup untuk menyara keluarga besarnya dalam suasana PKP.

Sejak PKP dilaksanakan tahun lalu, menurut Nor Aziah, mereka hilang mata pencarian apabila suaminya, Ramizan Ramli hilang pekerjaan sebagai juruelektrik pekerja kontrak.

“Dari tahun lepas hingga kini, suami susah untuk dapat kerja tetap kerana majikan mengehadkan pekerja mereka.

“Suami tiada pekerjaan tetap lagi, hanya bergantung kepada kontrak sementara sehingga menyebabkan pendapatan kami sekeluarga terjejas,” katanya yang menetap di Kampung Kempas Baru, di sini semalam.

Apabila tidak bekerja, suaminya yang berusia 40 tahun akan pergi memancing ikan dan hasil tangkapan itu menjadi lauk mereka 13 beranak.

“Macam dah nak petang saya WhatsApp suami dapat ikan ke, kalau dapat ada lauk, jika tiada kami makan apa yang ada di dapur,” ujarnya.

Ketika ini, keluarga besar itu menerima bantuan bulanan daripada Baitulmal RM300, namun wang tersebut agak terhad untuk dibelanjakan.

Nor Aziah menjelaskan, dia mempunyai tiga orang anak yang sudah tamat sekolah namun mereka juga diberhentikan kerja apabila PKP 3.0 dilaksanakan baru-baru ini.

“Sebelum ini, saya juga menjual barangan bundle dan jual burger waktu malam untuk tampung keluarga namun keadaan makin sukar dengan PKP disebabkan tiada pelanggan seperti dahulu,” katanya yang menetap di rumah ibu mentuanya itu.

Keluarga itu juga pernah melepaskan peluang menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada 2019 kerana tidak mampu membayar wang deposit masuk rumah dan pinjaman bulanan.

Sebelum PKP diperkenalkan, kehidupan keluarga besar itu hidup serba sederhana untuk menyara 11 orang anak yang berusia antara empat bulan hingga 22 tahun.

Terdahulu, keluarga Nor Aziah mendapat perhatian Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata) yang tampil memberi bantuan barangan keperluan kepada mereka.

Presiden Permata, Faridah Hamzah berkata, pihaknya akan melancarkan tabung bantuan untuk keluarga itu dan membantu anak-anak Nor Aziah mendapatkan pekerjaan.

Justeru, orang ramai yang ingin membantu keluarga itu dan golongan memerlukan boleh memberi sumbangan ke akaun Maybank Permata bernombor 551128630934.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

36  −  33  =