Kegusaran ekonomi & COVID-19: Tahap penerimaan rakyat terhadap Muhyiddin kekal stabil 

 Kegusaran ekonomi & COVID-19: Tahap penerimaan rakyat terhadap Muhyiddin kekal stabil 

Oleh Suraya Ali 

 

PETALING JAYA, 23 April – Tahap penerimaan rakyat terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal stabil pada 67 peratus berdasarkan kajian yang dilakukan ke di atas pengundi Semenanjung.

Hasil kajian itu menunjukkan, Perdana Menteri mendapat sokongan kuat dari pengundi Melayu pada kadar 83 peratus berbanding masing-masing 30 peratus dari kaum Cina dan 66 peratus kaum India. Angka ini menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 63 peratus bagi penilaian yang sama dicatatkan pada akhir Januari 2021.

Tinjauan juga mendapati, 41 peratus rakyat berpendapat, hala tuju negara adalah ‘bergerak ke arah yang betul’, sementara 46 peratus merasakan negara ini ‘menuju ke arah yang salah’. Pandangan ini menunjukkan perubahan yang ketara sejak Januari 2021, apabila ketika itu 32 peratus rakyat merasa negara ‘menuju ke arah yang betul’ manakala 54 peratus menuju sebaliknya.

Mereka yang menyatakan pandangan bahawa negara menuju ke arah yang betul telah memberi reaksi positif terhadap pentadbiran dan mengakui kesejahteraan rakyat dijaga. Sementara mereka yang merasakan negara menuju ke arah yang salah menyatakan kebimbangan terhadap kestabilan politik dan keadaan ekonomi yang tidak menguntungkan.

Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan Merdeka Center hari ini, menyebut antara kebimbangan pengundi adalah keadaan ekonomi dengan 57 peratus diikuti oleh isu pandemik pada 16 peratus, sementara politik adalah yang ketiga dan hanya dizahirkan oleh 2.4 peratus daripada mereka yang ditemu ramah.

“Kebimbangan terhadap ekonomi disebabkan oleh faktor kewangan peribadi pengundi di mana 57% melaporkan bahawa keadaan mereka ‘semakin teruk’ dibandingkan tahun lalu, sebelum kesan penuh dari perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikenakan akibat wabak COVID-19.

Berkenaan ekonomi negara, 68 peratus berpendapat, keadaannya di tahap negatif berbanding tahun lalu.

Sentimen ini sangat mempengaruhi pandangan pengundi mengenai pengendalian ekonomi oleh kerajaan. Namun tnjauan mendapati 51 peratus melaporkan, mereka berpuas hati dengan pengurusan ekonomi kerajaan sementara 43 peratus tidak berpuas hati.

Mengenai pandemik COVID-19, kajian yang sama mendapati majoriti pengundi di negara ini iaitu seramai 70 peratus berpuas hati dengan cara kerajaan menangani masalah tersebut.

“Ini menunjukkan peningkatan dari tahap 53 peratus yang diperhatikan pada Januari 2021 (pada ketika jangkitan harian melebihi 4,000 kes),” kata kenyataan itu.

Kajian juga mendapati, sebilangan besar (74 peratus)  pengundi secara konsisten berpendapat kerajaan telah membantu masyarakat yang memerlukan bantuan selama masa pandemik, dibandingkan dengan 25% yang tidak berpuas hati.

Selain itu, 56% pengundi merasa puas bahawa kerajaan mempunyai “visi yang jelas” mengenai apa yang diperlukan untuk memulihkan negara sementara 35% yang lain tidak berpuas hati.

“Pada pandangan kami, tinjauan menunjukkan pemilih di Semenanjung menunjukkan beberapa tanda optimis setelah pembukaan semula ekonomi seiring dengan program vaksinasi.

Ini ditunjukkan dalam sokongan terhadap Perdana Menteri yang masih kuat dan keyakinan yang munasabah dalam menangani wabak dan ekonomi – walaupun keadaan rakyat yang masih tertekan dengan keadaan kewangan peribadi mereka dan persepsi mereka terhadap ekonomi,” katanya.

Menurut Merdeka Center, pemberian bantuan kewangan kepada isi rumah dan beberapa perniagaan yang terjejas oleh masalah ekonomi yang disebabkan oleh wabak tersebut, serta kelonggaran syarat bagi pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), telah mendorong persepsi masyarakat terhadap kerajaan dan pemimpinnya.

Kajian ini telah dilakukan oleh Merdeka Center antara 31 Mac dan 12 April 2021 untuk mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa.

Seramai 2,111 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 64% Melayu, 28% Cina, dan 8% India, yang mewakili profil pilihan raya Semenanjung, ditemuramah melalui talian tetap dan telefon bimbit. Responden dipilih berdasarkan persampelan berstrata secara rawak mengikut umur, etnik, jantina dan kawasan pilihan raya negeri.

Pungutan suara itu dibiayai oleh sumber kewangan Merdeka Center yang dihasilkan secara dalaman.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  5