Kegembiraan 3 sahabat bertukar tragedi

 Kegembiraan 3 sahabat bertukar tragedi

Oleh Nurman Nasyriq

KOTA TINGGI, 23 Mac – Kegembiraan tiga sahabat bercuti di Pantai Batu Layar di sini hari ini berakhir duka apabila dua daripadanya lemas.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi tadi, Muhamad Hariz Farhat Omar, 23, ditemukan orang awam dan disahkan meninggal dunia.

Rakannya, Muhammad Hibatullah Hakim Razak, 23, masih belum ditemukan hingga kini.

Seramai 19 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, BBP Penawar serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Skudai bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan jam 10.59 pagi.

Gambar ihsan Bomba

Komander Operasinya, Penolong Penguasa Bomba Khairul Sufian Dahari berkata, mereka dibantu dua jentera Fire Rescue Team (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS, tiga utiliti Hilux serta sebuah bot aluminium.

Sebaik tiba, pihaknya dapati Muhamad Hariz telah dijumpai oleh orang awam di celah batu, iaitu kira-kira 30 meter dari pantai.

“Pasukan bomba telah membuat rawatan awal (CPR) kepada mangsa namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kedua-dua mangsa dipercayai mandi ketika air surut dan ditarik arus dan usaha mencari seorang lagi mangsa masih dilakukan.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

32  −  28  =