Kedai bergerak Prihatin Mart diperluas ke seluruh negara

 Kedai bergerak Prihatin Mart diperluas ke seluruh negara

Orang ramai beratur untuk membeli barang keperluan di kedai bergerak Prihatin Mart, Hulu Terengganu.

Oleh Mohammad Ishak

KUALA TERENGGANU, 17 Feb — Konsep kedai runcit bergerak, Prihatin Mart akan diperluaskan ke seluruh negara dalam masa terdekat bagi membolehkan orang ramai khususnya penduduk di luar bandar membeli barangan lebih murah.

Sejak dilancarkan, ia mendapat sambutan menggalakkan pengguna kerana barang makanan asas yang dijual sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran biasa.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, Prihatin Mart mula dilancarkan di Kuala Telemong, Hulu Terenggan pada 1 Februari lalu.

Prihatin Mart menawarkan 91 jenis barangan keperluan seperti gula, beras, minyak masak, susu pekat, tepung, bihun, minuman berperisa dan bawang pada harga patut lebih murah dan kompetitif ke arah menangani kos sara hidup rakyat.

Prihatin Mart dicetuskan Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, pertama kali dilaksanakan di Dataran Kampung Kuala Telemong  dan dijalankan secara bergilir di empat DUN di Parlimen itu.

Datuk Rosol Wahid meninjau sebuah lori yang dijadikan kedai bergerak Prihatin Mart.

Beliau berkata, buat permulaan program itu akan digerakkan ke Melaka sebelum disusuli ke negeri lain.

“Kita menerima sambutan yang baik daripada seluruh negara. Antara negeri yang berminat adalah Melaka, Johor, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan yang mahu Prihatin Mart diadakan di kawasan mereka,” katanya.

Rosol berkata, kekangan pada waktu ini adalah ketiadaan lori yang mencukupi untuk Prihatin Mart  beroperasi secara lebih meluas.

“Bagaimanapun, kita akan fikir cara dan cari alternatif terbaik untuk memenuhi permintaan ini,” katanya.

Rosol berkata, idea menubuhkan Prihatin Mart untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat terutama mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan golongan B40.

Tambah Rosol lagi, kerajaan berhasrat menjadikan Prihatin Mart sebagai satu program di bawah KPDNHEP dalam usaha membantu meringankan beban dihadapi masyarakat terutama dalam tempoh pandemik ini.

Sehubungan itu, beliau berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat supaya lebih ramai rakyat dapat dibantu dan merasa manfaatnya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  5