Kecacatan tidak halang Amirudin berdikari

 Kecacatan tidak halang Amirudin berdikari

Basikal roda tiga menjadi teman setia Amirudin Abdullah setiap hari untuk bergerak. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

PEKAN, 23 Jun – Kecacatan fizikal dialami selepas diserang demam panas ketika kecil menjadi lebih perit apabila dia kehilangan kaki kiri disebabkan kanser tulang serius 27 tahun lalu.

Kini kehidupan Amirudin Abdullah, 49 yang menetap di Kampung Temai Tengah, di sini bergantung sepenuhnya pada basikal roda tiga pemberian rakanya untuk melakukan aktiviti diluar rumah.

Menurutnya, basikal berkenaan menjadi nadi untuk dia bergerak ke kedai dan menguruskan projek ternakan ayam kampung yang diusahakan secara kecilan sejak enam tahun lalu.

“Basikal dan saya tidak mungkin dapat dipisahkan, walaupun berkarat dan semakin uzur namun saya begitu selesa mengayuhnya setiap hari.

“Saya menggunakan tangan kanan untuk mengayuhnya, sejak digunakan lebih 20 tahun lalu sudah dua kali rangka basikal patah dan banyak kali juga tayarnya bocor,” katanya yang memiliki kemahiran membaiki basikal roda dua.

Dia yang pernah mengikuti latihan di Pusat Latihan Orang Cacat Cheras, Selangor berkata, kemahiran dalam bidang kimpalan dan membaiki basikal membolehkan dia membaiki sendiri kerosakan basikal miliknya dan penduduk kampung.

Amirudin berkata, sebelum ini pihak Institut Kemahiran MARA Tan Sri Yahaya Ahmad, di sini ada menyumbangkan basikal roda tiga kepadanya namun tidak dapat digunakan kerana ia agak berat untuk bergerak.

Amirudin bercita-cita untuk membuka bengkel basikal bagi kemudahan penduduk kampung selain membesarkan projek ternakan ayam kampung. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

Beliau berkata, dia bercita-cita untuk membuka bengkel basikal suatu hari nanti sekiranya ada pihak yang ingin membantunya.Kini dia membaiki basikal secara sambilan di rumah bagi membantu penduduk kampung.

Menurutnya, walaupun serba kekurangan dia tetap perlu berdikari meneruskan kehidupan, walaupun anggota tidak sempurna namun itu bukan alasan untuk dia menyerah kalah dan tidak berusaha.

“Walaupun menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan namun saya tetap perlu berusaha mencari pendapatan tambahan bagi membantu keluarga.

“Saya perlu membantu keluarga kerana pengorbanan mereka sebelum ini perlu dibalas walaupun hanya sedikit,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Amirudin berkata, hasil pendapatan ternakan ayam kampung juga agak memuaskan, permintaan begitu menggalakan hingga tidak mencukupi.Pemborong membeli dengan harga RM8 sekilogram, setahun tiga hingga empat kali ayam dijual.

Beliau berkata, selepas selesai mengikuti latihan selama dua tahun enam bulan dia ditawarkan untuk bekerja di bengkel kimpalan diluar Pahang namun disebabkan beberapa faktor dia terpaksa menolaknya.

“Cita-Cita utama saya kini ialah untuk membuka bengkel basikal bagi kemudahan penduduk kampung selain membesarkan projek ternakan ayam kampung yang permintaannya begitu menggalakan.

“Untuk berjaya dalam hidup saya perlu berdikari untuk membuktikan insan cacat sepertinya tetap memiliki kelebihan dan keistimewaan,” katanya yang belajar hingga tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, di sini.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  7  =  3