Kebersamaan bangsa dan agama asas penyatuan Melayu

 Kebersamaan bangsa dan agama asas penyatuan Melayu

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 18 Feb: Kebersamaan sebagai satu bangsa dan sama-sama beragama Islam boleh dijadikan asas mencari titik penyatuan di kalangan pemimpin parti serta orang Melayu yang sekali gus dapat memperkukuhkan perpaduan ummah di negara ini.

Pengerusi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, penyatuan pemimpin Melayu dan perangkuman agenda parti-parti menjadi satu adalah kesedaran yang penting untuk menyelamatkan bangsa ini mengelak daripada merempat di tanah air sendiri.

Haji Aminuddin Yahaya: Rasuah dan gila kuasa menghalang penyatuan ummah

Beliau berkata, akibat perpecahan pemimpin Melayu, bangsa ini telah kehilangan banyak perkara termasuk kekayaan dan ekonomi, budaya, identiti serta jati diri sehingga tahap ada individu serta pemimpin malu atau tidak berani mengaku anak Melayu.

“(Kita) semua satu bangsa dan beragama Islam. Jadi, gunakan kekuatan ini  untuk bersatu. Persamaan yang nyata ada pada BERSATU, UMNO dan PAS adalah, mereka sama-sama Melayu dan beragama Islam,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya ahli politik Melayu mencontohi DAP dan MCA yang tidak memecah-belahkan kaum Cina di negara ini walaupun tidak sependapat dalam politik.

Aminuddin berkata, perpaduan kaum Cina dan penyatuan pemimpinnya ternyata membolehkan mereka meraih segala keuntungan mahupun tuntutan baik dari segi ekonomi, politik, pendidikan mahupun budaya.

Ketika ditanya apakah sikap negatif pemimpin parti Melayu yang menghalang penyatuan tersebut, beliau berkata: “Rasuah dan gila kuasa.”

Justeru, beliau melahirkan kebimbangan mengenai nasib bangsa Melayu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 15 akan datang jika pemimpin parti-parti Melayu gagal mencari titik persamaan untuk menghadapi pengundi serta strategi parti lawan.

Menurutnya, ketika mana sesama pemimpin Melayu asyik berbalah dan segelintirnya lagi sengaja bertindak mahu memecah-belahkan perpaduan bangsa sendiri, pemimpin Cina bertindak sebaliknya dengan menarik sokongan kaumnya untuk bernaung di bawah parti politik tertentu sahaja.

Namun sebaliknya telah berlaku kepada orang Melayu apabila mereka berpecah akibat percaturan politik serta politicking pemimpin parti mereka mengakibatkan bangsa itu menjadi rakyat yang terpinggir di bumi sendiri.

“Tanah hilang, budaya tenggelam. Bahasa semakin ditinggalkan, identiti dan jati diri sudah tidak ada sehingga ada pemimpin tidak berani mengaku anak Melayu. Walaupun (kuasa) politik ada tetapi sudah tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Aminuddin turut mengingatkan seluruh orang Melayu dan pemimpinnya jangan lupa dan mengambil iktibar daripada kekalahan parti dominan Melayu pada PRU14 lalu.

“Melayu kena ada agenda. Kalau tidak ada agenda, ada pemerintah pun tidak berguna. Pengajarannya (daripada PRU14), orang Melayu perlu memilih pemimpin berwibawa dan ada agenda untuk Melayu dan Islam,” katanya.

Sementara itu, aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata: “Perpaduan dalam kaum adalah pemangkin utama untuk memastikan setiap etnik dan kaum  tidak terhapus dan sentiasa relevan sampai bila-bila. Perpaduan sesama kaum pula adalah penting untuk memastikan setiap etnik hidup bersama dalam keadaan harmoni sampai bila-bila.”

Ditanya mengenai platform terbaik untuk menyatukan satu kaum sama ada menerusi politik, ekonomi ataupun pertubuhan, beliau berkata usaha memupuk perpaduan adalah lebih berkesan melalui pendidikan.

“Dengan pendidikanlah kita seharusnya melahirkan lebih ramai anggota masyarakat yang meletakkan perpaduan sebagai tunjang utama dalam setiap perkara yang kita lakukan sama ada politik, ekonomi mahupun pertubuhan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  38  =  40