Kebebasan dan sempadannya

 Kebebasan dan sempadannya
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

 

Di dalam ajaran Islam setiap kebebasan mempunyai batas dan hadnya yang tertentu. Hak bersuara umpamanya bukanlah diberikan tanpa sempadan sehingga semua orang boleh berbicara apa saja yang ia mahu tanpa mempunyai prinsip dan asas yang tertentu.

Masyarakat Barat yang dibangunkan sebagai masyarakat permisif tanpa terikat dengan prinsip nilai akhlak, apa lagi nilai kerohanian dan agama, memanglah memberikan hak yang luas kepada kebebasan ini.

Voltaire (Ahli Falsafah Perancis 1694-1778) sejak zamannya lagi mengisytiharkan bahawa ”Saya tidak menerima apa yang anda katakan. Tetapi saya akan bermati-matian mempertahankan kebebasan anda untuk bersuara”.

Bekas Presiden Amerika Syarikat ke-32 (1882-1945), Franklin Roosevelt ketika mengemukakan empat perkara dalam gagasan kebebasan menegaskan bahawa, ”Hak pertama ialah kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat di mana saja mereka berada di dalam dunia ini”.

Sejak itu, semua yang terlibat dengan penampilan kepada masyarakat seperti penulis, artis, kartunis, pengusaha filem dan sebagainya telah memasuki gelanggang masing-masing dengan penuh kebebasan untuk menyata dan menterjemahkan perasaan, fikiran dan bisikan naluri mereka, termasuklah memberikan idea dan pandangan tentang segala-galanya di dalam masyarakat tanpa ragu-ragu lagi.

Medan terbaru yang dimasuki oleh manusia moden pada hari ini ialah medan teknologi dan komunikasi maklumat yang telah dipergunakan dengan seluas-luasnya oleh mereka untuk mencari keuntungan kebendaan seperti berdagang dan berniaga, termasuk memperniagakan bahan-bahan lucah dan tidak bermoral.

Kebebasan dalam laman maya dan teknologi zaman baru ini juga dimasuki oleh orang-orang yang ingin memberikan pandangan dan pendapat peribadi tentang agama, politik dan sosial sehingga pandangan tentang hal ini menjadi terlalu banyak disebarkan ke seluruh dunia tanpa sempadan ini.

Di kalangan masyarakat Islam sendiri hal ini menjadi duri  dalam daging yang amat menyakitkan. Dalam sejarah kebebasan bersuara yang berbangkit di dalam negara Islam umpamanya, terdapat beberapa kes yang dilakukan oleh penganut Islam sendiri dalam memanifestasikan kebebasan ini.

Novel hasil karya Salman Rushdie The Satanic Verses (1988) telah menimbulkan kontroversi dan menggemparkan masyarakat Islam, sehingga pengarang dan buku ini telah menimbulkan banyak krisis dalam dunia Islam dan di kalangan penganut Islam di dalam dunia.

 


Kebebasan dalam laman maya dan teknologi zaman baru ini juga dimasuki oleh orang-orang yang ingin memberikan pandangan dan pendapat peribadi tentang agama, politik dan sosial sehingga pandangan tentang hal ini menjadi terlalu banyak disebarkan ke seluruh dunia tanpa sempadan ini.


 

Pejuang kebebasan wanita Bangladesh, Taslima Nasrin, dalam masa yang sama, telah menurut jejak langkah Salman Rushdie ketika menerbitkan tulisan dan bukunya yang banyak mengemukakan pemikirannya yang amat sinikal tentang kitab suci al-Quran dan undang-undang syariah.

Kedua-dua penulis ini telah “dihukum” melalui fatwa oleh pemimpin Iran, dan para ulamak Bangladesh sebagai murtad dan “kufur” yang seharusnya menerima hukuman mati. Malah dalam demonstrasi besar-besaran yang di lakukan di dalam dunia Islam, ketika berlaku pada zaman kedua-dua penulis ini mengemukakan karya mereka, ramai pula yang tercedera dan mati, iaitu ketika tunjuk perasaan dan demonstrasi di lakukan oleh orang ramai di beberapa bandar dan sudut di negara-negara Islam sendiri sebagai bantahan terhadap perkara ini .

Kita juga pada waktu yang terakhir ini dapat melihat banyak sekali lahirnya portal berat sebelah politik, terutamanya politik yang menentang segala agensi dan institusi kerajaan semasa, laman-laman web dan ratusan blog di dalam Internet, buku-buku yang tertentu, risalah, lukisan kartun dan karekatur serta komen-komen dalam portal media sosial, yang dikeluarkan untuk tujuan memburuk-burukkan ajaran Islam di samping lawak jenaka yang mempersenda-sendakan nilai-nilai ajaran agama.

Mungkin ramai juga yang mengetahui wujudnya filem yang cuba menceritakan secara menyeleweng tentang Nabi Isa a.s. iaitu tentang kehidupan seks baginda seperti filem The Last Temptation of Christ tidak lama dulu.

Oleh itu, kita di negara ini merasa amat tersinggung dengan tuntutan-tuntutan kebebasan manusia yang melampaui batasan budaya, tatasusila dan ajaran agama sendiri yang cuba diketengahkan di dalam media sosial kini.

Islam telah mengehadkan kebebasan ini di dalam berbagai-bagai bidang. Makan dan pakailah dengan bebas, tetapi hal ini tertakluk kepada sistem dan peraturan yang tertentu, ajaran dan hikmah agama sendiri, malah di negara seperti negara kita ini ialah menghormati budaya dan adab perkauman yang seharusnya di jaga oleh semua.

Berkahwin dan berketurunan, juga tertakluk kepada ajaran yang tertentu. Demikian juga di dalam perkara-perkara yang lain, termasuk menulis, menyanyi, berlakon, berbicara atau bercakap, maka semuanya tertakluk kepada nilai-nilai yang ditentukan oleh agama.

Oleh itu, pihak Kerajaan di samping usaha-usaha yang telah di lakukan selama ini, perlulah melihat dan mengkaji beberapa perkara terkini yang dibangkitkan di dalam masyarakat kita yang lebih bersifat polarisasi, rasial, fanatic, sekularis, tambahan pula sebagai negara yang mempunyai Perlembagaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan negara yang mengakui kedudukan agama, maka segala sesuatu yang bercanggah dengan hal ini yang dikemukakan di atas dasar hak asasi manusia haruslah ditolak dan ditentang dengan penuh hormat dan bertolak ansur.

Kita sering melambangkan simbol kesatuan kaum dan kepercayaan, kerana negara kita telah mempunyai sejarah yang baik, malah sejarah yang berlaku sebagai peristiwa sedih 13 Mei telah memberikan pengajaran yang baik kepada rakyat kita supaya tidak seharusnya berulang lagi. Banyak kata-kata hikmah yang menjadi slogan dalam negara kita, seperti “Berpadu dalam kepelbagaian” (Unity in diversity} “Setuju untuk tidak bersetuju” (Agree to disagree} Malah bagi orang Islam dan bukan Islam, mereka seharusnya memahami ajaran Islam “Anda mempunayi agama anda, dan bagi saya agama saya” Surah Al-Kafirun.

Oleh itu dalam keadaan politik kini yang ada kalanya terdapat kenyataan politik partisan dan taksub parti yang membicarakan tentang aliran paerkauman dan parti yang agak keterlaluan dan ekstrem, haruslah di tapis dan dibetulkan oleh ahli-ahli politik yang terlalu partisan dan taksub itu. Kita haruslah menjaga nama baik dan keselamatan negara kita yang aman damai selama ini.

 

Tan Sri Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  48  =  52