• Sunday, 20 June 2021, 3:26 pm

Keajaiban laut terbelah setiap tahun di Korea Selatan

 Keajaiban laut terbelah setiap tahun di Korea Selatan

SETIAP tahun, ribuan pengunjung berkumpul di Pulau Jindo, Korea Selatan untuk menyaksikan dan melalui sendiri fenomena laut ‘terbelah’ yang diraikan menerusi perayaan Jindo Miracle Sea Road Festival di barat daya negara itu.

Fenomena yang berlaku setiap akhir Mac atau awal April itu disebabkan faktor pasang surut air serta perubahan iklim yang menyebabkan laut di situ seolah-olah terbelah sepanjang 2.8 kilometer dengan kelebaran 40 meter yang menghubungkan dua pulau – Pulau Jindo dan Pulau Modo.

Mengikut legenda yang diceritakan penduduk setempat, kejadian luar biasa itu disebabkan oleh dewa laut yang ingin menolong menghubungkan dua pulau berkenaan.

Peristiwa yang hanya berlaku selama sejam sebanyak dua kali sehingga air laut kembali pasang itu menghasilkan suasana dan pemandangan yang indah sepanjang tempoh laut itu terbelah.

Pengunjung memenuhi ruang laut yang surut menghubungkan Pulau Jindo Pulau Modo di Korea Selatan.

Keunikan Pulau Jindo menjadi tumpuan dunia apabila sekitar tahun 1970-an, apabila bekas duta Perancis ke Korea Selatan, Pierre Landy menyatakan kekagumannya dengan fenomena alam itu.

Kenyataan yang dibuat beliau berjaya menarik minat dan perhatian pelancong Eropah yang ingin merasai sendiri pengalaman serta berjalan melalui ‘laut terbelah’ itu.

Pada 27 hingga 29 April lalu, edisi ke-42 perayaan itu terpaksa diadakan secara dalam talian bagi memerangi pandemik COVID-19 yang kian mengganas di seluruh dunia.

Pada acara itu, pemandangan yang memisahkan Laut Jindo itu disiarkan secara langsung melalui YouTube dan Facebook.

Selain itu, pelbagai acara budaya tradisional, termasuk ritual memberi penghormatan kepada tokoh mitos tempatan, Granny Ppong, akan disiarkan dalam masa nyata.

Menurut kenyataan rasmi penganjur, penonton di seluruh dunia dapat mengambil bahagian dalam festival ini dengan memberikan komen dalam talian masa nyata.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *