KDA FC vs JDT: Siapa di puncak, siapa kena pijak

 KDA FC vs JDT: Siapa di puncak, siapa kena pijak

ALOR SETAR, 4 Mei – Walaupun tanpa kehadiran penyokong kedua-dua pasukan yang mampu menjadi ‘booster’ dan pembakar semangat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP), namun Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat berpeluang untuk menewaskan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi ke-12 di Stadium Darul Aman, malam ini.

Sebabnya, KDA FC pasti ingin mengekalkan semangat dan momentum kemenangan selepas menang besar 3-1 menentang Melaka United pada aksi sebelum ini.

Pengendali Skuad Hijau Kuning, Aidil Sharin Sahak berkata, kehilangan laungan, sorakan dan semangat penyokong akan dirindui oleh pemainnya dan akan memberikan suasana yang berbeza dari sebelum ini.

“Setiap penyokong Hijau Kuning yang hadir ke stadium sebelum ini memberikan kami motivasi dan tenaga tambahan dalam perjuangan meraih tiga mata.

“Semangat dan motivasi setiap pemain perlu kekal tinggi dan mereka perlu mengambil peluang ini untuk menyempurnakan impian penyokong untuk kutip tiga mata pada setiap perlawanan.

Kota Setar adalah antara lima daerah yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kedah yang bermula 1 Mei hingga 14 Mei ini sehingga menyebabkan penyokong dilarang masuk ke stadium.

Skuad Hijau Kuning kini berada di tangga kedua liga dengan 23 mata selepas 11 perlawanan dan hanya dibezakan satu mata dengan pendahulu JDT yang mengumpul 24 mata. Kedua-dua pasukan disifatkan yang terbaik dan berada di puncak liga ketika ini.

Aksi malam ini dijangka sangat dramatic kerana KDA FC JDT dipisahkan oleh satu satu jurang yang sangat halus. Ada laporan media yang menyebut pertemuan malam ini adalah sama ada ‘melonjak ke puncak atau kalah dan kena pijak’.

Sementara itu, JDT dilihat sedang mencari kembali rentak kemenangan apabila gagal peroleh enam mata penuh dalam dua perlawanan lalu apabila tewas 0-1 di laman sendiri menentang Terengganu FC pada aksi ke-10 dan seri 1-1 menentang Kuala Lumpur United FC pada perlawanan terbaharu.

Dari tujuh gelaran liga berturut-turut JDT dalam Liga Super, jurang kemenangan terkecil adalah tiga mata pada 2014 manakala yang terbesar adalah 23 mata pada 2018.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  4