KDA FC melonjak ke kedudukan ketiga, Penang FC benam Gergasi Merah

 KDA FC melonjak ke kedudukan ketiga, Penang FC benam Gergasi Merah

Kredit foto FB KDA FC

KUALA LUMPUR, 20 Mac — Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melonjak ke kedudukan ketiga Liga Super selepas berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan di zon penyingkiran UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam, malam ini.

Muhammad Faizat Mohamad Ghazli muncul penjaring tunggal perlawanan apabila menanduk masuk sepakan percuma bekas pemain pasukan tuan rumah Rabih Ataya pada minit ke-41 sekali gus memastikan KDA FC melakar kemenangan ketiga musim ini.

KDA FC kini berkongsi 10 mata dengan dua pasukan teratas Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC menjelang pertembungan berdepan Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 2 April ini.

Pendatang baharu Liga Super, Penang FC melebarkan rekod tanpa kalah kepada tiga perlawanan selepas mengejutkan Selangor FC 2-0 sekali gus menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan teratas dengan mengutip lapan mata.

Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor FC yang dilihat lebih mengawal permainan bagaimanapun gagal mencari gol pembukaan, sebaliknya Mohamad Al Hafiz Harun meletakkan Penang FC di depan menerusi jaringan pada minit ke-38.

Babak kedua perlawanan menyaksikan skuad bimbingan Karsten Nitzel kekal mendominasi perlawanan namun bergelut memecah kebuntuan sebelum Muhammad Daniel Ashraf Abdullah menggandakan jaringan Penang FC pada minit ke-73 selepas berjaya melepasi perangkap ‘offside’ benteng skuad Gergasi Merah.

Sementara itu, Melaka United FC merakam kemenangan pertama musim ini dengan kejayaan 2-1 menewaskan Kuala Lumpur City FC 2-1 di Stadium Hang Jebat.

Penyerang import dari Brazil, Alex Dos Santos Goncalves menyempurnakan dua sepakan penalti masing-masing pada minit ke-52 dan minit ke-81 sebelum KL City FC cuba bangkit menerusi gol Abdul Aziz Rahim pada minit ke-89 namun sudah terlewat.

Sementara itu, aksi Liga Premier menyaksikan PDRM FC tewas 1-2 kepada Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sementara Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menewaskan Perak II 3-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

18  −    =  13