KBS pertimbang cadangan bina sekolah sukan OKU

 KBS pertimbang cadangan bina sekolah sukan OKU

IPOH, 12 Sept — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperhalusi cadangan pembinaan sebuah sekolah sukan khusus untuk para pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perbincangan dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi menilai segala keperluan yang diperlukan sebelum ia dapat dimuktamadkan.

“Buat masa sekarang juga pihak KBS sentiasa mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian lain bagi membolehkan aktiviti atau program berteraskan belia dan sukan ini dapat diadakan bersama.

“Untuk kewujudan sekolah sukan ini, Insya-Allah doakan ia menjadi kenyataan sekali gus memberi inisiatif yang lebih baik kepada sukan para ini berkembang kerana mereka juga mampu mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Latihan Memanah Para Negeri Perak di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, di sini, hari ini.

Pada 8 Sept lepas, Penaung National Alliance of Mental Health (NAMH) Senator Datuk Ras Adiba Radzi mencadangkan agar kerajaan membina sebuah sekolah sukan OKU bertujuan mencungkil pelapis dan bakat baharu secara khusus dalam bidang sukan.

Ras Adiba yang merupakan Pengerusi Bernama turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan meliputi fasiliti dan kemudahan mesra OKU di stadium, kompleks sukan dan padang selain menawarkan peluang kepada bekas atlet para dilantik menjadi jurulatih.

Mengulas mengenai program hari ini, Ahmad Faizal berkata ia lebih kepada sesi ramah mesra serta melihat dengan lebih dekat kemudahan padang latihan disediakan kepada 13 atlet memanah para Perak yang bakal menghadapi temasya Para Sukma 2022.

Selain itu, pihaknya turut menyumbangkan kit sanitasi kepada beberapa wakil kontinjen para negeri melibatkan sukan memanah, tenpin boling, powerlifting, catur dan renang.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  33  =  40