KBS kaji penganjuran SUKMA Johor 2020 ikut Olimpik Tokyo

 KBS kaji penganjuran SUKMA Johor 2020 ikut Olimpik Tokyo

Ahmad Faizal (tengah) meninjau keadaan di PPV Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, hari ini.

JOHOR BAHRU, 8 Sept — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengkaji kaedah penganjuran yang terbaik bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 dan mungkin menggunakan pendekatan sama pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara kaedah penganjuran yang akan dipertimbangkan adalah mengadakan acara sukan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

“Dari segi persiapan, saya lihat kerajaan negeri begitu teliti dan venue-venue SUKMA sudah tersedia untuk digunakan. Malah, penyelenggaraan venue juga telah dibuat dengan baik dan bersedia untuk menganjurkan.

“Jadi, kita akan berbincang cara terbaik untuk perancangan seterusnya. Kita juga mendapati ada suara-suara yang ada pandangan lain tentang kaedah penganjuran temasya sukan itu.

“Soal penganjuran, kita akan meneliti cara terbaik untuk SUKMA Johor 2020. Ia masih di tahap perbincangan kaedah penganjurannya dan berlangsung secara tertutup (tanpa penonton) antara yang akan dibincangkan,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, di sini hari ini.

Ahmad Faisal akan bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membincangkan lanjut mengenai perkara itu.

Banyak isu lain berkaitan SUKMA Johor 2020 yang akan dibincangkan termasuk gelembung atlet memandangkan berusia bawah 17 tahun yang belum menerima vaksin.

“Kita kena tahu, penganjuran Sukma ini akan membabitkan atlet kemungkinan usia bawah 17 tahun. Jadi, ini antara perkara yang perlu kita fikirkan.

“Penganjuran SUKMA Johor 2020 adalah fokus utama KBS dan berikan kami sedikit masa untuk mengatur jadual temasya tersebut,” katanya.

Semalam, Onn Hafiz memberitahu bahawa Johor bersedia menjadi tuan rumah SUKMA pada tahun depan selepas ditangguhkan dua kali sebelum ini akibat wabak COVID-19.

Semua venue SUKMA di negeri ini juga sudah siap 100 peratus dan kerajaan Johor turut memperuntukkan RM4.2 juta bagi menyelenggara kemudahan dan lokasi acara SUKMA di negeri ini.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

31  −  24  =