Kayuh guna telefon bimbit

 Kayuh guna telefon bimbit

Pengarah APM Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman (kanan sekali) bertemu dengan tiga anggota APM yang selamat dalam kejadian bot karam, semalam

Oleh AMIR HAMZAH NORDIN

KUALA TAHAN, 6 Januari 2022 – “Saya menggunakan telefon bimbit sebagai ‘pendayung’ sambil berhanyut dan berkuak ke tebing.

Selain itu saya mengapungkan diri dengan bantuan dua kusyen bot sebesar 0.4 meter x 1.0 meter (16 inci x 40 inci) selain jaket keselamatan yang dipakai,” kata Roslan Abu Kassim, 58 tahun.

Turmizi Abu Kassim

Dia antara tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang selamat dalam kejadian bot karam di Jeram Panjang, dekat sini pada jam 11.00 pagi, semalam, dalam misi menghantar bekalan makanan ke perkampungan Orang Asli di Kampung Aur.

Roslan menceritakan detik cemas, ketika tiba di lokasi, bot dinaikinya dimasuki air dan tenggelam dan semua barangan bantuan makanan yang dibawa hanyut.

“Ketika itu, saya, adik saya,Turmizi yang memandu bot dan Orang Asli etnik Bateq, Belandak Kampung Kuala Atok, Kuala Tahan menyelamatkan diri masing-masing.

“Saya hanya sempat mengambil dua kusyen dan menghanyutkan diri serta cuba berenang ke tepi dan berhanyut kira-kira 1kilometer dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Kuala Tahan, hari ini.

Katanya, disebabkan masing-masing sudah mempunyai pengalaman sebagai pemandu pelancong, mengendalikan bot serta tidak panik dan disertai dengan takdir Allah SWT mahu mereka selamat.

“Memang misi seperti menghantar makanan ke perkampungan orang asli dan kampung lain ketika sungai sangat bergelora diserahkan kepada kami, oleh itu kami sentiasa bersedia dan memahami situasi air sungai serta selalu siap siaga.

“Andai kata kami panik walaupun memakai jaket keselamatan, dari segi logiknya, ntahlah, mungkin kami tiada,” katanya.

Turmizi Abu Kassim, 52, yang memandu bot penambang cuba menyelamatkan botnya tetapi gagal kerana sudah mula ditenggelami dan hanyut termasuk enjin bot.

“Saya hanya sempat berpaut pada haluan bot dan memegang tong minyak pertrol untuk dijadikan sebagai pelampung sambil mengikut arus air dan cuba merapatkan diri ke tebing.

“Saya hanya dengar abang saya memanggil saya dan sempat menyahut sebagai isyarat saya selamat, saya cuba melaung kembali memanggil abang saya, tetapi tidak ada jawapan, hati mula terfikir yang bukan-bukan,”katanya.

Turmizi Abu Kassim

Katanya, selepas itu dia nampak abangnya pada jarak kira-kira hampir 100 meter daripadanya sedang terapung, perasaan mula lega.

Manakala, Belandak a/l Bajak, 28, berkata, ketika bot mula karam, dia melihat sekitar dan ada ‘pulau’ kecil berdekatan dan dia terus berenang ke situ sambil berpaut dahan pokok dan naik ke atas.

“Saya susah hati juga sebab tak nampak abang Lan (Roslan) dan Bang Mizi (Turmizi) ketika itu, tetapi bila saya berada di atas pulau, saya nampak mereka hanyut dan berteriak sebagai isyarat.

“Saya tunggu kira-kira 20 minit juga, selepas itu saya berenang semula ke tepi dan terus ke naik darat, saya berjalan kaki ke perkampungan orang asli,’ katanya.

Belandak a/l Bajak

Sementara itu, Pengarah APM Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman memuji kecekapan anggota itu yang berjaya menyelamatkan diri daripada bot karam dalam misi bantuan menghantar makanan.

Pengarah APM Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman (kanan sekali) bertemu dengan tiga anggota APM yang selamat dalam kejadian bot karam, semalam

“Itulah pengalaman dan kecekapan yang ada pada mereka yang menyebabkan mereka selamat selain takdir menyelamatkannya.

“Insya Allah, pihak kami cuba membantu mendapatkan sebuah bot baharu untuk mereka, dimaklumkan bot amat diperlukan ketika ini untuk misi menyelamat, penghantaran makanan dan juga mengangkut murid sekolah di kalangan murid asli,” katanya.-END

Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

50  −  43  =