Kata kunci titah diraja: Pemimpin dan integriti

 Kata kunci titah diraja: Pemimpin dan integriti

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong

BARU pada minggu yang lalu saya mempersoalkan bagaimanakah gerangannya bentuk acara sambutan hari kelahiran junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang akan diadakan pada tanggal 12 Rabiul Awwal tahun ini memandangkan keadaan dan suasana dunia kini yang amat berbeza dari tahun-tahun yang lalu?

Lalu pada tanggal 18 Oktober 2021 jawapannya telah terserlah melalui Titah Perutusan Diraja yang disampaikan oleh Tuanku Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melalui saluran RTM pada jam 9 malam bahawa kata kunci yang dibawakan oleh Baginda ialah ‘Pimpinan’ dan ‘Integriti’, satu pemusatan bicara yang amat sesuai dengan ungkapan bahawa “Kesejahteraan sesuatu bangsa dan kemakmuran sesebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara seseorang pemimpin”.

Hal ini dijelaskan oleh titah perutusan tersebut ketika menekankan tentang kepimpinan Baginda Rasulullah SAW bahawa “Baginda bukan sahaja tidak terlepas daripada penglihatan Ilahi, malah sebagai pemimpin, Baginda turut dinilai oleh para pengikutnya. Justeru, Baginda senantiasa mengamalkan dan mempamerkan sebaik-baik contoh teladan melalui sifat-sifat amanah, jujur, ikhlas, telus, berdisiplin dan berintegriti”.

Dari satu sudut yang lain titah diraja ini menekankan butiran yang berikut:

“Jika pemimpin sentiasa insaf akan tanggungjawabnya kepada ummah dan kepada negara, serta lebih insaf akan tanggungjawab yang lebih besar kepada Allah SWT, akan sejahtera hidup ummah dan akan makmur negara”.

Seterusnya titah ini diteruskan dengan pengurusan yang berintegriti seperti yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW dengan penekanan yang berikut;

“Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama, dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan”.

Pemimpin yang berwibawa itu ialah “Pemimpin yang tidak akan mengizinkan berlakunya himpunan kekayaan yang diperolehi secara tidak jujur dan tidak telus, apatah lagi melalui kaedah yang meminggirkan peraturan dan mempersendakan undang-undang”.

Titah diraja seterusnya menjelaskan bahawa “Baginda tidak sekadar mengungkapkan kata, tetapi kata-kata yang diungkapkan mencerminkan amalan kepimpinan yang berintegriti tinggi”.

Dari beberapa para titah ucapan diraja itu pun kita telah dapat membuat kesimpulan penting bahawa rahsia dan kunci kejayaan Baginda Rasulullah dapatlah dirumuskan sebagai berikut:

* Keperibadian dan perwatakan Baginda yang sempurna

* Akhlak dan tingkah laku Baginda yang amat terpuji

* Pembicaraan dan perkataan baginda yang selari dengan perbuatannya

* Mempunyai sifat bijaksana atau berhikmah dalam tindakannya.

Hal ini amat jelas diterangkan oleh Allah SWT dengan firman-Nya ”Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu”. (Suruh al-Ahzab, ayat 21).

Titah diraja seterusnya menekankan tentang “contoh dugaan dan ujian yang dihadapkan terhadap Baginda Rasulullah, seperti percubaan musyrikin kaum Quraish sendiri yang melakukan pelbagai usaha dengan niat untuk menggelincirkan Baginda daripada landasan perjuangan. Namun baginda Rasulullah SAW tetap mempunyai pendirian yang kuat dan kukuh terhadap segala cabaran dan ujian ini”.

Hal ini mengingatkan saya tentang peribadi kelebihan manusia yang beriman dan berpegang kepada ilmu dan inteleknya yang berasaskan Islam, iaitu ketika Allah SWT menjadikan manusia dengan beberapa kekuatan yang menjadi bekalan dan ujian kepada mereka.

Kekuatan tersebut ialah kekuatan jiwa dan ruh manusia, yang pertama ialah kekuatan intelek, yang kedua ialah hati yang dilanda kemarahan, ketiga ialah keinginan dan nafsu syahwat  dan yang keempat ialah kekuatan imaginasi tentang sesuatu yang akan berlaku.

Keseluruhan kekuatan dan sifat ini dikuasai oleh kekuatan mental dan ilmu pengetahuan yang berpandukan kepada wahyu dan ajaran Allah, lalu kemarahan manusia akan sentiasa menjadi perisainya untuk menentang segala hasutan dan ancaman iblis dan syaitan.

Desakan keinginan pula menjadikan manusia akan mendapatkan segla keperluan hidupnya termasuk melahirkan generasi seterusnya untuk mereka, namun hal ini sering dipandu oleh sifat-sifat sabar dan takwa yang dipandukan oleh pengetahuan kerohanian dan jasmani mereka mengikut sempadan dan had yang ditentukan Allah SWT.

Dengan itu manusia merupakan manusia yang paling baik kejadiannya, terutamanya ketika ilmu pengetahuan dan sifat inteleknya sehingga dengan itu dapat mengawal nafsu keinginan duniawi dan liar, emosi maraha dan nafsu amarahnya dapat terkawal untuk mengerjakan perkara-perkara yang baik, juga kekuatan imaginasi dan gambarannya yang jelas tentang masa depannya, akan sentiasa membawanya kepada sifat integriti yang tinggi, terutamanya ketika menjadi pemimpin.

Inilah sebenarnya dasar integriti yang menjadi buah pemikiran dan amalan bertamadun serta beradab bagi manusia yang berintegriti seperti yang disimpulkan oleh titah diraja:

“Kesejahteraan sesuatu bangsa dan kemakmuran sesebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara seseorang pemimin, ulama besar, umara berwibawa, dan peniaga yang berjaya akan lahir dalam negara yang pemimpinnya memiliki iman dan takwa. Jika pemimpin senantiasa insaf akan tanggungjawabnya kepada ummah dan kepada negara, serta lebih insaf akan tanggungjawab lebih besar terhadap Allah SWT, akan sejahtera hidup ummah dan akan makmur negara”.

Hikmah Baginda dalam berkomunikasi dan berurusan dengan kawan dan lawan diterangkan oleh Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran, ayat 159: ”Maka disebabkan rahmat daripada Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling kamu”.

Seperti yang telah saya jelaskan di dalam tulisan minggu lalu, perkara terpenting dalam sambutan hari keputeraan baginda Rasulullah SAW kali ini ialah mendapatkan pengajaran yang baik untuk menjadi bekalan bangsa dan negara kita dalam mencorakkan pemikiran dan amalan individu dan bangsa umumnya dalam meneruskan aktiviti dan perjuangan hidup seterusnya, meningkatkan nilai adab dan tamadun serta integriti yang tinggi.

Maka titah ucapan diraja yang telah disampaikan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan sebenarnya adalah merupakan satu titah diraja yang amat berharga, terutamanya ketika kita berhadapan dengan kekacauan pemikiran yang kita hadapi pada masa ini khususnya, termasuk juga isu kesihatan dan ekonomi bangsa kita ketika menghadapi pandemik COVID-19 ini.

Apabila Raja bertitah, amatlah diharapkan bahawa segala sesuatu mutiara ilmu tentang sejarah dan contoh utama junjungan Nabi kita Muhammad SAW seperti yang digambarkan di dalam titah ucapan itu akan menjadi panduan yang baik bagi negara dan bangsa kita seterusnya bagi para pemimpin yang seharusnya mempunyai peradaban murni dan sifat integriti yang tinggi.

Tan Sri Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *