• Sunday, 20 June 2021, 3:48 pm

Kastam sita enam kenderaan import bernilai RM1.2 juta

 Kastam sita enam kenderaan import bernilai RM1.2 juta

Antara kenderaan import yang dirampas dan disita pihak kastam bernilai RM1.2 juta dalam tiga serbuan di sekitar Johor Bahru dan Kulai pada bulan lalu.

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 5 Jun – Memindahkan kenderaan import yang masih belum dibayar cukai tanpa kelulusan kastam dan meletakkannya di premis perniagaan. bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Itu modus operandi dilakukan satu sindiket import kenderaan namun kegiatan mereka tumpas dalam tiga serbuan berasingan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

JKDM Johor merampas dan menyita enam kenderaan import bernilai RM1.2 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini bulan lalu.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, serbuan pertama dilakukan Bahagian Penguatkuasaan, Sungai Pulai, JKDM Johor di sebuah premis perniagaan di Jalan Kebun Teh pada jam 3 petang, 25 Mei lalu.

“Premis perniagaan ini dijadikan tempat menyimpan tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) import terpakai dipercayai tanpa kelulusan kastam dianggarkan bernilai RM220,000 dengan duti dan cukai bernilai RM424,930,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sazali memberitahu, seorang lelaki warga tempatan yang berusia 42 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, serbuan kedua pula dilakukan bahagian penguatkuasaan yang sama di sebuah premis perniagaan di Lebuhraya Pasir Gudang pada jam 1.30 petang, 27 Mei lalu.

Jelasnya, JKDM Johor berjaya merampas dua unit MPV persendirian import terpakai yang dipercayai dipindahkan dari gudang kastam tanpa kelulusan ke premis berkenaan.

Pihaknya menyita dua unit MPV tersebut yang dianggarkan bernilai RM160,000 dengan duti dan cukai bernilai RM309,040 selain menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun untuk membantu siasatan.

Kes ketiga katanya, serbuan dilakukan di tepi jalan kawasan perumahan di Taman Indahpura, Kulai pada jam 5.30 petang, 31 Mei lalu dan merampas sebuah kenderaan import dipercayai memasuki negara ini tanpa permit yang sah dari negara jiran.

“Kenderaan import yang dipercayai tidak berkastam ini dianggarkan bernilai RM40,000 dengan nilai duti dan cukai sebanyak RM77,260. Usaha mengesan pemilik kenderaan sedang giat dijalankan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Sek 75(b) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 138 Akta yang sama, iaitu memindahkan barang dari kawalan kastam tanpa kelulusan dan melanggar syarat-syarat gudang berlesen yang ditetapkan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *