KASA peruntuk RM1.43 bilion atasi banjir, pulihara sungai

 KASA peruntuk RM1.43 bilion atasi banjir, pulihara sungai

Tuan Ibrahim (tiga dari kanan) melawat tapak projek RTB di Kampung Parit Basri, Sri Medan, Baru Pahat, hari ini.

BATU PAHAT, 9 Sept — Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM1.43 bilion menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai serta hakisan pantai di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, 15 projek akan dilakukan melibatkan 13 projek sambungan dan dua baharu.

Menurutnya, daripada jumlah peruntukan berkenaan, RM81.3 juta disediakan bagi projek di daerah ini bertujuan mengurangkan risiko ‘banjir termenung’ yang melanda sejak Ogos lalu.

“Bagi mengurangkan risiko banjir termenung, KASA menerusi JPS sedang melaksanakan dua projek pembangunan, iaitu menaik taraf Sistem Saliran Mesra (SMA) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat.

“Projek SMA yang telah mula dilaksanakan di dua lokasi, iaitu Sungai Suloh dan Peserai ini dijangka siap mulai tahun depan. Ini melibatkan nilai keseluruhan RM32.8 juta bertujuan mengatasi banjir berpunca daripada masalah sistem saliran tidak sempurna, kejadian hujan lebat dan fenomena air pasang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat tapak projek RTB di Kampung Parit Basri, Sri Medan, di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, projek RTB Sungai Batu Pahat pula bakal menelan belanja RM48.5 juta bagi mengurangkan risiko banjir termenung akibat semasa hujan lebat.

“Projek ini masih dalam tempoh prapelaksanaan bagi perkhidmatan perunding dan dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap sepenuhnya,” katanya.

Fenomena banjir termenung sering berlaku ekoran hujan lebat di kawasan Sri Medan dan di bahagian hulu, iaitu di Chaah dan Segamat serta kejadian air pasang besar.

“Kedua-dua projek mega ini akan memberikan manfaat bagi lebih 10,120 penduduk yang sering mengalami masalah banjir termenung selain mengelakkan kerugian kepada peladang kelapa sawit di kawasan berisiko,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  1